
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, Negara Bangsa amat penting bagi Malaysia pada masa kini kerana ia menjadi asas kepada keamanan, perpaduan, kestabilan dan keharmonian sebuah negara yang majmuk.
“Kementerian melalui beberapa siri libat urus bersama pakar akademik dan sejarah telah menetapkan definisi Negara Bangsa, iaitu negara berdaulat yang warganya memiliki identiti nasional dan berkongsi nilai sepunya berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.
Aaron berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) hari ini, yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Aaron berkata, bagi memastikan aspirasi Negara Bangsa itu benar-benar sampai kepada rakyat dan diterima semua pihak, kementerian itu akan terus melaksanakan beberapa sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi dialog awam serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa.
“… penganjuran persidangan ini akhirnya akan menghasilkan satu Rangka Tindakan Negara Bangsa untuk rujukan semua pihak, terutamanya agensi kerajaan dalam membuat dasar atau inisiatif baharu,” katanya.
Aaron berkata, Malaysia sebuah negara yang berdiri megah atas asas kepelbagaian dengan lebih 200 etnik, kaya dengan identiti, bahasa, budaya, keunikan dalam makanan serta tarian dan seni muzik.
Beliau berkata, kepelbagaian itu bukan sekadar realiti sosial malah menjadi kekuatan utama yang membentuk wajah Malaysia sebagai sebuah negara yang unik di persada dunia namun mengurus kepelbagaian berkenaan bukan sesuatu yang mudah.
Menurut Aaron, ia memerlukan kefahaman, rasa hormat serta penerimaan berterusan daripada semua pihak untuk memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Dalam realiti global yang semakin mencabar hari ini yang melibatkan perbezaan ideologi, pengaruh media sosial, politik identiti serta tekanan globalisasi, pembinaan negara bangsa memainkan peranan yang amat penting. Ia menjadi asas dalam menyatukan rakyat melalui perkongsian identiti nasional, tanpa menafikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya,” katanya.
Konvensyen yang berlangsung dua hari bermula hari ini itu menghimpunkan pengkaji dan pengamal sejarah untuk berkongsi penemuan, pandangan serta wacana ilmiah yang dapat memperkayakan naratif sejarah negara.