Perkasa agromakanan melalui teknologi moden, titah Raja Muda Perlis

Perkasa agromakanan melalui teknologi moden, titah Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yakin penggunaan teknologi pertanian dapat meningkatkan hasil pengeluaran dan kecekapan pengurusan ladang.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai Program Jelajah Agrofest 2026 sempena Perlis Agrofest 2026 di Kolam Memancing ABE, Bintong, semalam.
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap jabatan dan agensi berkaitan terus mempergiat usaha memperkasa sektor agromakanan melalui pendekatan moden, inovatif dan berimpak tinggi.

Baginda yakin penggunaan teknologi pertanian dapat meningkatkan hasil pengeluaran dan kecekapan pengurusan ladang.

“Usaha itu penting bagi memastikan keterjaminan makanan dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, khasnya golongan asnaf,” titah baginda pada Program Jelajah Agrofest 2026 di Bintong, Kangar, semalam.

Terdahulu, baginda mengetuai lebih 100 peserta terdiri daripada kakitangan jabatan serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Perlis dalam program anjuran Jabatan Pertanian negeri itu sempena Perlis Agrofest 2026.

Perlis Agrofest 2026 berlangsung tiga hari bermula Jumaat lalu di Sungai Batu Pahat, dengan majlis perasmiannya disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis turut menyempurnakan penyerahan anak ikan kepada tiga asnaf terpilih sebagai inisiatif memperkasa sumber pendapatan golongan sasar.

Baginda kemudiannya menyaksikan penyerahan cek cura bernilai RM376,000 daripada Pengarah Pertanian Perlis, Hafizuddin Othman kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs bagi pelaksanaan Projek Pembinaan Sistem Pertanian Moden (Fertigasi) membabitkan 10 asnaf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.