
Baginda bertitah, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ukhrawi penting untuk melahirkan generasi serba boleh, dengan pendidikan bukan sekadar bekal kerjaya, tetapi juga jambatan menuju kejayaan di akhirat.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru pelajar menjadi generasi Qurani yang bukan hanya menghafal, sebaliknya menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Dengan berpaksikan al-Quran dan sunnah, setiap usaha menuntut ilmu bukan sahaja menjadi bekal kerjaya di dunia, malah menjadi jambatan menuju kejayaan hakiki di akhirat.
Menurut baginda, pelajar berkualiti ialah mereka yang memiliki hati terbuka untuk dididik, kesantunan lisan, serta sahsiah yang mencontohi akhlak Rasulullah SAW.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika merasmikan Program Titian Kasih Mega 2026 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Alawiyah.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMKA Perempuan Alawiyah Tho’alimi Jib.
Tuanku Syed Faizuddin turut merasmikan Bilik Al-Khwarizmi sebagai pusat aktiviti STEM dan inovasi sekolah itu.
Kemudaha itu dijangka menjadi platform kepada pelajar untuk meneroka, membangun dan memperkasa idea kreatif serta inovatif selaras dengan keperluan pendidikan semasa.
Sementara itu, Tho’alimi dalam ucapannya berkata sekolah berkenaan terus memacu kecemerlangan menerusi penetapan KPI menyeluruh meliputi pentadbiran, pembangunan fizikal, kewangan, akademik, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum.
Katanya, pelbagai inisiatif akademik turut dilaksanakan, termasuk Program Khas IMTIAZ dan pembudayaan Professional Learning Community secara holistik.
Hasilnya, sekolah itu mencatat kelulusan 100% dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2025 membabitkan 108 calon, dengan Gred Purata Sekolah 2.82, sekali gus meletakkannya antara sekolah terbaik di Perlis.
Seramai 34 calon memperoleh keputusan 8A ke atas, termasuk empat pelajar yang mendapat semua A.
Bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Kohort 2024 pula, sekolah itu merekodkan purata 3.39, manakala subjek usuluddin mencatat NGMP terbaik 3.75 selain empat calon turut memperoleh PNGK 4.00.
Dalam ko-kurikulum, sekolah itu turut mencatat kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, termasuk dalam catur, inovasi, robotik, dan memanah tradisional.