Elak ketirisan, polis perketat kawalan di 13 stesen minyak di utara

Elak ketirisan, polis perketat kawalan di 13 stesen minyak di utara

Pegawai polis PGA ditempatkan di lokasi 'hotspot' di Perak, Kedah dan Perlis.

Petrol 95
Menurut PGA, anggotanya ditugaskan di semua stesen minyak yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ di utara tanah air, bermula 6.30 pagi hingga stesen minyak ditutup.
PETALING JAYA:
Polis memperketat kawalan di 13 stesen minyak yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ di Perak, Kedah dan Perlis, bagi mengekang kegiatan ketirisan bahan api bersubsidi.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Balveer Singh Mahindar Singh berkata, 57 pegawai polis daripada Briged Utara PGA telah digerakkan ke lokasi-lokasi yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand, iaitu dua di Perak, enam di Kedah dan lima di Perlis.

“Pemantauan Op Tiris 4.0 dilaksanakan secara syif bermula seawal 6.30 pagi dengan kehadiran berterusan anggota PGA di semua stesen minyak yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’, dan penugasan diteruskan sehingga stesen minyak tersebut ditutup,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Balveer berkata, usaha itu penting bagi memastikan bahan api bersubsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) 2026 yang berkuat kuasa pada 1 April lepas, serta Peraturan Pembelian Bahan Api Bersubsidi dalam Bekas (botol/jerikan) di Malaysia.

Justeru, katanya, polis akan terus mempertingkat keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan dan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan penyelewengan bahan api bersubsidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.