Raja Muda Perlis lancar 8 buku baharu di PBAKL 2026

Raja Muda Perlis lancar 8 buku baharu di PBAKL 2026

Keberangkatan baginda turut menyempurnakan perasmian promosi gastronomi Perlis.

Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan melancarkan lapan buku baharu sempena lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Keberangkatan baginda berdua diiringi puteri mereka Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana turut menyempurnakan perasmian gastronomi Perlis.

Ketibaan delegasi diraja disambut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL Fauzy Wahab.

Dalam majlis itu, baginda berdua juga melancarkan enam naskhah ilmiah terbitan DBP.

Enam buku berkenaan ialah Isu-Isu Pandemik dari Kaca Mata Islam, Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Biografi Ketua Pengarah DBP, Legasi Ulama Melayu, Akhlak dalam Islam dan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

Majlis kemudian diteruskan dengan pelancaran dua buku terbitan Galeri Ilmu Media Group iaitu Profesor Yang Membeli Syurga dan Kehilangan karya Zaini Mohd Ariff serta Kasih Sayang Tuhan.

Sempena lawatan tersebut, baginda berdua turut melawat beberapa lokasi pameran utama sastera tempatan dan antarabangsa termasuk reruai Arab Saudi dan reruai mufti Brunei Darussalam yang menjadi antara tumpuan pengunjung.

PBAKL 2026 yang memasuki edisi ke-43 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini dan merupakan platform tahunan terbesar negara dalam memperkukuh ekosistem penerbitan serta memartabatkan budaya membaca.

Kunjungan diraja diakhiri dengan perasmian Promosi Masakan Perlis di Riverside Café & Restaurant, WTCKL. Program gastronomi itu merupakan kerjasama antara Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Restoran Shamiza Mohd Noor Guar Nangka, Perlis.

Promosi berkenaan mengetengahkan menu warisan Kurma Daging Perlis yang disediakan khas oleh cef eksekutif restoran itu, Muhamad Rusmi Che Dol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.