
Dalam kenyataan hari ini, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Pulau Pinang berkata, BNCT akan berperanan sebagai gerbang utama di Sumatera bagi memperkukuh pengedaran barangan di pasaran serantau manakala Penang Port bertindak sebagai hab pemindahan kapal dan Perlis Inland Port sebagai penghubung logistik darat ke negara Asia Tenggara serta Asia Timur.
Memorandum kerjasama antara tiga pihak itu ditandatangani hari ini sempena perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
KJRI Pulau Pinang memaklumkan, sinergi antara tiga pihak itu diharap dapat meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, mempercepat aliran kargo rentas negara dan menghubungkan sistem digital bersepadu bagi memastikan pergerakan barangan secara menyeluruh.
Konsul Jenderal Republik Indonesia di Pulau Pinang Wanton Saragih berkata, kerjasama itu berpotensi mempercepat pertumbuhan ekonomi tiga negara berjiran, iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand, selain membangunkan koridor alternatif bagi hubungan Asean dengan Asia Timur.
“Ketersambungan ini akan mempercepat aliran komoditi produk Indonesia dari wilayah Sumatera seperti minyak sawit, kopi, koko, teh serta hasil pertanian lain ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta kawasan sekitarnya,” katanya.
Secara operasi, laluan Pelabuhan Belawan-Penang Port sejauh kira-kira 255km akan disambung sejauh 133km ke Perlis Inland Port menjadikan keseluruhan laluan itu kira-kira 388km.
KJRI Pulau Pinang memaklumkan, laluan itu lebih cekap berbanding laluan konvensional Pelabuhan Belawan-Singapura yang hampir dua kali ganda lebih jauh.