Sambutan Hari Wesak: Polis P Pinang larang main mercun, terbang dron

Sambutan Hari Wesak: Polis P Pinang larang main mercun, terbang dron

Penggunaan dron semasa sambutan Hari Wesak esok hanya dibenarkan dengan kelulusan CAAM, kata ketua polis P Pinang.

azizee ismail
Individu ingkar larangan bermain mercun dan bunga api pada sambutan Hari Wesak esok boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, kata Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Orang ramai yang hadir sambutan dan perarakan Hari Wesak di Pulau Pinang esok dilarang bermain mercun dan bunga api, selain menggunakan dron tanpa kelulusan, menurut polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata, individu yang ingkar larangan bermain mercun dan bunga api boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Tambahnya, penggunaan dron semasa sambutan Hari Wesak itu hanya dibenarkan dengan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

ā€œ(Selain itu) orang ramai dinasihatkan tidak memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah dan menjaga tata kelakuan bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan kepada orang lain,ā€ katanya, lapor Bernama.

Azizee turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sempena sambutan itu.

Beliau turut menyarankan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi membantu melancarkan aliran trafik.

ā€œPengguna jalan raya juga diingatkan agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga menyebabkan halangan lalu lintas serta (diminta) mematuhi arahan petugas bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan,ā€ katanya.

Lebih 15,000 penganut Buddha serta pengunjung dijangka hadir meraikan sambutan Hari Wesak di Pulau Pinang esok.

Polis memaklumkan beberapa jalan akan ditutup secara berperingkat bermula 6 petang sehingga acara selesai, bagi memberi laluan kepada perarakan.

Laluan terlibat ialah Jalan Burmah (Permulaan), Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Lorong Burmah, Jalan Burmah, Jalan Perak (lawan arus), Lebuhraya Peel (lawan arus), Jalan Macalister (lawan arus), Jalan Perak (lawan arus), Jalan Anson (lawan arus), Jalan Macalister, Lorong Madras dan kembali ke Jalan Burmah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.