4 negeri dan KL sumbang 88.9% kepada eksport Malaysia pada April

4 negeri dan KL sumbang 88.9% kepada eksport Malaysia pada April

Eksport Malaysia pada April 2026 capai RM182.7 bilion, iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM49.2 bilion.

penang skyline
Setakat bulan lepas, Pulau Pinang kekal negeri pengeksport utama dengan sumbangan 45.1% kepada jumlah eksport negara.
KUALA LUMPUR:
Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur mendominasi eksport Malaysia dengan menyumbang 88.9% kepada jumlah eksport Malaysia pada April 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi kenyataan mengenai Statistik Eksport Import Mengikut Negeri April 2026 yang dikeluarkan hari ini, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada April 2026 mencapai RM182.7 bilion iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak RM49.2 bilion.

Pulau Pinang, katanya, kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 45.1%, diikuti oleh Johor (19.7%), Selangor (14.6%), Sarawak (5.3%) dan Kuala Lumpur (4.2%).

Peningkatan eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang (+RM33.5 bilion), Johor (+RM9.7 bilion), Kuala Lumpur (+RM3.5 bilion), Selangor (+RM2.5 bilion) dan Sarawak (RM490.1 juta).

Selain itu, Perak mencatatkan peningkatan RM472.2 juta, Terengganu (+RM404.6 juta), Sabah (+RM188.3 juta), Perlis (+RM26.7 juta) dan Negeri Sembilan (+RM25.2 juta).

Bagaimanapun, nilai eksport turun di Pahang sebanyak RM573.5 juta, Labuan (-RM289.1 juta), Kedah (-RM188.6 juta), Melaka (-RM158.2 juta) dan Kelantan (-RM11.8 juta), katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, import pada April 2026 meningkat RM25.6 bilion (+20.0%) berbanding bulan sama pada 2025.

Katanya, peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM18.6 bilion), Pulau Pinang (+RM9.6 bilion), Sarawak (+RM517.6 juta), Perak (+RM322.5 juta), Kedah (+RM294.8 juta), Labuan (+RM289.1 juta).

Negeri lain yang menyumbang kepada peningkatan import ialah Sabah (+RM211.6 juta), Terengganu (+RM165.4 juta), Negeri Sembilan (+RM127.0 juta), Pahang (+RM58.2 juta) dan Perlis (+RM40.9 juta).

Bagaimanapun, nilai import susut di Selangor sebanyak RM2.0 bilion, Kuala Lumpur (-RM1.3 bilion), Kelantan (-RM27.1 juta) dan Melaka (-RM8.0 juta).

Johor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 28.0%, diikuti oleh Pulau Pinang (25.3%), Selangor (23.4%), Kuala Lumpur (7.8%) dan Kedah (4.4%), katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.