
BN berdepan prestasi pilihan raya paling mengecewakan dalam sejarah selepas hanya menang 30 kerusi, yang mendorong Onn Hafiz secara terbuka menuntut Zahid selaku pengerusi BN perlu ‘berjiwa besar’ seperti Najib Razak yang berundur selepas kekalahan BN pada PRU14.
Onn Hafiz berkata, beliau memohon maaf kepada Zahid selepas menerima nasihat Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail susulan spekulasi beliau mungkin berdepan tindakan tatatertib seperti pemimpin Umno lain, yang turut menyeru peletakan jawatan Zahid.
Katanya, beliau dinasihatkan pihak Istana Johor bahawa sebagai seorang pemimpin muda, beliau mungkin telah ‘terlajak kata’ dalam kenyataannya itu, dan memohon maaf adalah tindakan wajar diambil.
“Ke bawah duli Tuanku titah: Pergi dan jumpa awak punya presiden…kita ada negeri mahu diuruskan,” katanya dalam audio siar ‘Keluar Sekejap’, dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
“Selepas menerima nasihat itu, saya pergi menemui Zahid dan memohon maaf sekiranya kenyataan saya mengguris perasaannya…dan Alhamdulillah, saya rasa beliau telah maafkan saya.
Terdahulu, dalam audio siar berkenaan, Shahril menarik perhatian bahawa Onn Hafiz merupakan pemimpin Umno pertama yang terbuka menuntut peletakan jawatan Zahid selepas PRU15.
Shahril berkata, beliau juga telah mengeluarkan kenyataan sama, namun akhirnya digantung keahlian Umno, manakala Onn Hafiz tidak berdepan sebarang tindakan tatatertib.
“Mungkin tetamu kita boleh jelaskan mengapa,” selorohnya.
Menjawab pertanyaan Shahril, ketua Umno Johor itu berkata: Saya rasa masa itu saya banyak berdoa!”