
Bercakap dalam audio siar ‘Keluar Sekejap’, Onn Hafiz mengakui timbul dakwaan lawatan mengejut itu dianggap sebagai mikropengurusan, namun berkata ia perlu dilakukan kerana laporan diterimanya sering kali berbeza dengan realiti.
“Sering kali laporan yang saya dapat atas kertas dengan apa yang berlaku di bawah adalah dua perkara berbeza,” katanya.
Beliau memetik kesesakan di kompleks kastam, imigresen, dan kuarantin (CIQ) Johor-Singapura sebagai contoh masalah berlarutan menjejaskan ratusan ribu pengguna saban hari.
Onn Hafiz berkata, walaupun memahami ada pihak yang mungkin kurang selesa dengan lawatannya ke agensi, hospital, dan tapak infrastruktur, tindakan turun padang secara peribadi telah membuahkan penambahbaikan nyata.
Beliau berkata, pemimpin tidak sepatutnya menegur pegawai secara terbuka sehingga memalukan mereka. “Niat saya untuk membantu menyelesaikan masalah,” katanya.
Onn Hafiz juga menggariskan falsafah pembangunan Johor yang lebih luas, dengan menyifatkannya pendekatan ‘kos rendah, impak tinggi’ bertujuan memastikan perbelanjaan awam memberikan manfaat bermakna.
Beliau berkata, walaupun Johor sering menjadikan negara jiran, Singapura, sebagai tanda aras, belanja pembangunan mestilah kekal realistik dan berimpak.
Projek dilaksanakan oleh kerajaan negeri mestilah memberikan manfaat nyata dan bukannya menjadi inisiatif kos tinggi yang mempunyai impak awam yang terhad, katanya sambil memetik Zoo Johor dan Muzium Tokoh Johor sebagai contoh pelaburan agak sederhana, namun berjaya menghasilkan manfaat kepada orang ramai.