Bekas pengurus QSHE Empangan Pedu bimbang kelewatan kerja pengorekan

Bekas pengurus QSHE Empangan Pedu bimbang kelewatan kerja pengorekan

Juan Carlos Sánchez Rodríguez memberi amaran kelewatan kerja pengorekan di Empangan Pedu berisiko memburukkan kesan kemarau dan kekurangan bekalan air.

empangan pedu
Projek pemulihan Empangan Pedu sebahagian daripada peruntukan RM1 bilion di bawah Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengurus yang pernah mengawasi fasa kritikal projek pemulihan Empangan Pedu di Kedah bimbang terhadap kelewatan dan memberi amaran kemarau semakin buruk boleh meningkatkan risiko kepada kemudahan itu dan kawasan pertanian sekitarnya.

Juan Carlos Sánchez Rodríguez, yang pernah berkhidmat sebagai pengurus kualiti, keselamatan, kesihatan dan alam sekitar (QSHE) bagi projek Empangan Pedu bernilai RM234 juta awal tahun ini, memberi amaran kelewatan kerja pengorekan boleh menjejaskan keseluruhan usaha pemulihan.

Beliau berkata, kerja belum siap berpotensi menjejaskan bekalan air untuk pengairan di zon pertanian Muda, kawasan penanaman penting di Kedah.

“Mana-mana pakar teknikal akan mengenal pasti keadaan itu sebagai risiko semakin meningkat jika kerja pengorekan — dan kerja pemulihan lebih luas — tidak disiapkan dalam tempoh dirancang.

“Sebagai pengurus QSHE, saya secara rasmi mendokumentasikan kebimbangan ini dan membangkitkannya kepada pasukan pengurusan projek DCN Diving,” kata warga Colombia itu kepada FMT.

Sanchez berkata, kerja pengorekan bagi projek itu pada asalnya dijadualkan bermula 23 Feb lalu dan disiapkan menjelang pertengahan 2027.

Beliau memberi amaran kelewatan selama 45 hari atau lebih boleh menjejaskan jadual projek itu, keupayaan operasi empangan dan peranan pertaniannya dengan ketara.

Akhir Mac lalu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Ismail Salleh dilaporkan berkata, takungan air di Empangan Muda di Sik berada pada paras rendah dan membimbangkan, iaitu sekitar 8.04% atau 10,050 ekar kaki.

Katanya, Empangan Muda sangat penting dan berperanan mengumpul air sebelum menyalurkannya kepada Empangan Pedu untuk penyaluran air pengairan ke kawasan Muda bagi tanaman padi.

Empangan Muda dan Pedu, dua takungan air terbesar di Kedah, merupakan sebahagian daripada skim pengairan Muda — salah satu sistem paling penting negara untuk penanaman padi serta pengurusan sumber air.

Memandangkan kedua-dua empangan itu saling berkait dalam sistem pengurusan air sama, paras air rendah di Empangan Muda akan menyebabkan paras air di Empangan Pedu merosot.

Sanchez berkata, paras air rendah akan menyukarkan kerja pengorekan dan setakat pengetahuannya, kerja pengorekan belum dimulakan.

Projek pemulihan Empangan Pedu sebahagian daripada peruntukan RM1 bilion di bawah Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk melaksanakan program penanaman padi “lima musim dalam dua tahun” di kawasan bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.

Fasa 1 projek itu yang bernilai kira-kira RM761 juta, merangkumi pembangunan 15 blok pengairan tertiari dan pemulihan menyeluruh Empangan Pedu, mewakili 30% daripada keseluruhan kos.

Projek itu dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta membabitkan anak syarikat Kumpulan MMC, MMC Infra Padi Sdn Bhd, bagi memperkukuhkan kapasiti pengairan dan memastikan bekalan air mencukupi untuk kitaran penanaman padi dipertingkatkan.

Sanchez berkata, perkhidmatannya ditamatkan Mac lalu atas dakwaan kelemahan dalam penyampaian projek dan “ketidakpadanan dengan keperluan operasi projek”.

Katanya, aduan telah dibuat kepada Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan sedang menunggu maklum balas rasmi.

Menurutnya, seorang wakil kementerian telah memaklumkannya melalui LinkedIn bahawa lawatan tapak akan dijalankan, tetapi sehingga kini, tiada kemas kini rasmi diterima.

FMT telah menghubungi pejabat DCN Diving di Malaysia dan Kumpulan MMC untuk mendapatkan komen, tetapi sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.