
Saya merujuk artikel yang diterbitkan di portal The Coverage.
Tajuk itu sendiri sudah bermasalah. ‘Lie exposed memberi gambaran kononnya ada ‘penipuan besar’ dalam sistem pendidikan negara. Tetapi bila dibaca artikel itu, tiada satu pun bukti kukuh yang benar-benar mendedahkan apa-apa. Yang ada hanyalah potongan angka, dicantum tanpa konteks, lalu dijadikan naratif dramatik.
Malah, artikel itu turut membawa satu lagi naratif lama yang menidakkan perubahan zaman. Katanya, ‘In the 1970s, 80s, and early 90s, scoring straight As in SPM was a national rarity…”
Seolah-olah dahulu sistem tegas dan berkualiti, manakala hari ini ‘longgar’ dan ‘menipu’. Janganlah begitu. Pada saya, ini perbandingan yang tidak jujur.
Kenapa saya tidak setuju dengan dakwaan itu?
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini bukan sistem baharu. Ia berakar daripada sistem yang sama sejak dahulu. Lembaga Peperiksaan masih institusi yang sama. Prinsip pentaksiran, kerangka penilaian, dan rujukan standard masih berteraskan asas yang sama. Tiada seorang pun pernah membawa bukti bahawa standard SPM ‘diturunkan’ secara sistemik seperti yang didakwa.
Hakikatnya, yang berubah bukan standard, yang berubah ialah mutu dan capaian sistem pendidikan itu sendiri.
Maksud saya begini. 40 tahun lalu, akses pendidikan di negara kita lebih terhad. Prasekolah tidak menyeluruh. Baru setahun dua ini, enrolmen prasekolah mencecah 95%. Dulu tidak begitu. Dulu, pada 2015,enrolmen prasekolah baru dalam 84.5%.
Sokongan pembelajaran juga tidak seimbang. Akses tak melata. Prasarana juga tidak sekata. Hari ini, lebih ramai murid masuk sekolah dengan asas awal, lebih ramai guru terlatih, malah yang memasuki keguruan adalah dalam kalangan pelajar terbaik, dan lebih banyak intervensi dilaksanakan.
Dalam kata lain, lebih ramai murid diberi peluang untuk berjaya dengan ekosistem pendidikan lebih bermutu.
Apabila bilangan pelajar cemerlang meningkat, itu bukan petanda standard jatuh, tetapi bukti bahawa lebih ramai murid kini mampu mencapai standard tersebut. Jika dahulu hanya segelintir yang berjaya, itu bukan semestinya kerana sistem lebih baik, tetapi kerana sistem ketika itu belum cukup inklusif untuk mengangkat lebih ramai ke tahap yang sama.
Sebab itu, kita menambah baik usaha kita dari masa ke masa.
Naratif ‘dulu susah, sekarang senang’ itu sebenarnya terlalu simplistik, dan tidak adil kepada generasi hari ini. Malah, saya fikir hujahnya amat emosional.
Ambil satu lagi contoh dakwaan dalam artikel itu, “Over 400,000 students are still struggling with basic 3M skills… The foundation is collapsing.” seterusnya didakwa pula, “42% of Malaysian children fail to reach minimum reading proficiency… nearly half our kids can’t read properly.”
Ini contoh klasik bagaimana angka digunakan untuk menakutkan, bukan untuk menerangkan.
Pertama, angka ‘400,000 murid lemah 3M’ tidak diberi konteks langsung. Dalam sistem pendidikan yang melibatkan 5.5 juta murid, angka mutlak tanpa nisbah hanyalah alat retorik. Mana datangnya angka yang didakwa? Dan lebih penting, kita memang menjalankan saringan awal untuk mengenal pasti murid yang perlukan sokongan, dan daripada saringan itulah angka-angka seperti ini biasanya datang.
Realitinya begini. Mari saya ceritakan. Hanya pada tahun 2024, melalui langkah Reformasi Pendidikan, saringan awal telah mengenal pasti 122,062 murid Tahun 1 belum menguasai 3M. Walau bagaimanapun, ini bukan bukti kegagalan, tetapi ini bukti sistem telah mengesan awal.
Dan hasilnya jelas, 59.3% (72,385 murid) berjaya dipulihkan dalam tempoh singkat. Kesan ini berterusan ke Tahun 2, apabila jumlah murid dalam Program Literasi dan Numerasi (PLaN) turun daripada sekitar 75,000 setiap tahun kepada 49,677. Dengan kata lain, dalam dua tahun, lebih 26,000 murid berjaya dipulihkan.
Malah, dalam gambaran lebih luas, sekitar 90% murid telah menguasai asas 3M seawal Tahun 2.
Jadi dari mana datangnya naratif “ratusan ribu tidak boleh membaca”?
Saya fikir, penulis sendiri tidak memahami konteks. Kemungkinan besar angka itu diambil daripada data saringan awal murid yang sedang dibantu, atau salah mentafsir dapatan pentaksiran seperti SEA-PLM dan laporan Bank Dunia. Lebih mudah, angka diambil, konteks dibuang, kemudian dibuat kesimpulan besar.
Ini bukan analisis yang teliti. Ini bacaan cuai atau sekadar analisis malas.
Kedua, dakwaan “42% tidak boleh membaca” adalah salah tafsir yang serius. Saya pasti, angka itu merujuk kepada data yang dibaca dari laporan Bank Dunia, yang mana juga merujuk kepada data SEA-PLM 2019. Sebenarnya, data itu merujuk kepada murid yang belum mencapai tahap kefahaman minimum antarabangsa (minimum proficiency Level, MPL), bukanlah bermakna tidak boleh membaca langsung.
Hakikatnya, dalam data SEA-PLM 2019 itu, hanya sekitar 5% berada pada tahap sangat rendah (Aras 2 ke bawah). Selebihnya berada pada Aras 3 hingga 5, iaitu boleh membaca, tetapi belum mencapai tahap kefahaman tinggi.
Lebih penting, murid yang diuji ialah Tahun 5 (+/- 11 tahun), sedangkan standard MPL merujuk kepada akhir sekolah rendah, dalam konteks pendidikan di Malaysia, ialah murid +/-12 tahun, iaitu Tahun 6. Maknanya, mereka masih dalam proses pembelajaran. Jadi bagaimana angka “belum capai standard” diterjemahkan menjadi “tidak boleh membaca”?
Jawapannya mudah, iaitu penulis membuat penyederhanaan melampau untuk mencipta kesan dramatik. Penulis mungkin baca laporan itu, tapi sebenarnya tak faham konteksnya. Ini bukan sekadar salah, ini mengelirukan.
Lebih memalukan, artikel itu mengabaikan konteks besar pasca-COVID. Malaysia antara negara yang mengalami penutupan sekolah paling lama, iaitu sekitar 174 hari, lebih lama daripada purata negara OECD. Kesan ‘learning loss’ itu nyata, dan kita tidak menafikannya. Malah data seperti PISA 2022 mengesahkan cabaran tersebut. Untuk makluman semua, waima apa pun keputusan Malaysia, Malaysia masih menyertai PISA sejak 2009, 2012, 2015, 2018, 2022 & 2025, jadi dakwaan “lari” itu tidak berasas.
Tetapi yang sangat dikesalkan, ialah yang tidak disebut, iaitu apa yang berlaku selepas setiap pusingan, iaitu pemulihan sistematik.
Dalam SEA-PLM 2024 misalnya, adakah penulis artikel itu tahu bahawa kini Malaysia muncul sebagai nombor satu dalam rantau ini dalam literasi penulisan, dengan skor jauh mengatasi purata serantau, negara-negara yang menyertai SEA-PLM. Hampir 80% murid berada pada tahap sederhana dan tinggi, dan 21% pada tahap tinggi. Ini bukan kemahiran asas. Ini kemahiran berfikir, menyusun idea, dan berhujah.
Dan di sinilah kontradiksi paling jelas dalam naratif tersebut. Bagaimana murid yang kononnya “tidak boleh membaca” mampu menulis pada tahap terbaik di rantau ini? Nampak tak ni? Penulisan memerlukan kefahaman. Tanpa membaca, tidak mungkin ada penulisan berkualiti. Maka dakwaan tersebut bukan sahaja lemah, tetapi bercanggah secara langsung dengan data ini.
Ini membawa kita kepada tuduhan kedua, iaitu “grade inflation” dan “lowered the bar”.
Sekali lagi, tiada bukti.
Kalau katanya ‘grade inflation’, macam mana pula bilangan pelajar cemerlang SPM 2025 adalah sekitar 13,779, sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya. Tiada lonjakan luar biasa. Ya, memang betul Gred Purata Kebangsaan bertambah baik (4.49 → 4.42) dan kadar layak sijil meningkat kepada 94.29%.
Dalam subjek teras, kita lihat pola yang bercampur-campur, di mana Matematik dan Bahasa Inggeris bertambah baik, manakala Bahasa Melayu dan Sejarah menunjukkan penurunan kecil. Walau bagaimanapun, secara umum, terdapat peningkatan calon lulus dan penurunan calon gagal. Maknanya jelas, lebih ramai pelajar lulus, berkurangan anak-anak yang tercicir.
Kalau ini dipanggil ‘menurunkan standard’, maka kita sebenarnya sedang menghukum kejayaan memperluas akses pendidikan.
Sebab itu, kita perlu sebut perkara ini dengan jelas dan tanpa kompromi. Artikel tersebut bukan analisis pendidikan. Ia adalah naratif sensasi yang dibina atas salah tafsir, angka tanpa konteks, dan perbandingan yang tidak sah.
Ia mengabaikan hakikat bahawa kita telah melalui krisis global, mengesan kelemahan secara terbuka, dan kini sedang melaksanakan pemulihan secara berfokus, dari saringan awal, intervensi literasi, hingga kepada reformasi kurikulum dan dasar jangka panjang.
Sebab itulah, apabila penulis menggunakan istilah seperti “foundation collapsing” dan “lie exposed” tanpa asas kukuh, ia bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah ia merosakkan kefahaman awam, menimbulkan panik yang tidak perlu, dan mengalih fokus daripada cabaran sebenar, iaitu bagaimana kita memperkukuh literasi kefahaman dan memastikan semua murid berjaya.
Pendidikan negara tidak sempurna. Tetapi ia juga bukan seteruk yang digambarkan secara melulu. Dan kalau kita benar-benar serius mahu memperbaiki sistem, kita perlu berhenti melayan naratif yang kuat bunyinya, kuat spinnya, tetapi kosong isinya.
Dengan kata lain, artikel itu bukan sekadar lemah hujahnya, tetapi berniat jahat dalam membentuk persepsi—satu bentuk pemilihan naratif secara selektif (selective framing) yang akhirnya menyesatkan kefahaman awam.
Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim adalah felo penyelidik Komuniti Pendidik Madani.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.