RM65.5 juta untuk 6 inisiatif baharu masyarakat India

RM65.5 juta untuk 6 inisiatif baharu masyarakat India

Enam inisiatif bawah Mitra itu meliputi bantuan pendidikan, keusahawanan, kesihatan dan kebajikan, khususnya untuk masyarakat India B40 dan M40.

kaum india indian
Mitra akan melaksanakan enam inisiatif bernilai RM65.5 juta bagi membantu masyarakat India pada tahun ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan memperuntukkan RM65.5 juta bagi melaksanakan enam inisiatif baharu untuk masyarakat India tahun ini.

Inisiatif itu akan dilaksanakan bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), yang kini diletakkan bawah Kementerian Sumber Manusia.

R Ramanan
R Ramanan.

Menteri Sumber Manusia R Ramanan berkata program itu memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan, pembangunan komuniti, kesihatan dan bantuan sosial disasarkan khusus kepada masyarakat India daripada golongan B40 dan M40.

Menurutnya, unit itu juga kini diperkukuh sebagai sebuah jabatan bawah Kementerian Sumber Manusia selepas mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Naik taraf ini membolehkan Mitra melaksanakan fungsi pembangunan komuniti secara lebih tersusun, cekap, telus dan berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Bagi pendidikan awal, agensi itu memperkenalkan Program Subsidi Pendidikan Awal Untuk Kanak-Kanak India atau CELIK MADANI untuk kanak-kanak daripada keluarga B40.

Program itu menyediakan subsidi yuran tadika dan sarapan pagi sehingga RM2,530 setahun bagi setiap kanak-kanak, dengan 4,000 penerima disasarkan.

Mitra turut memperkenalkan Program Tuisyen Madani, atau Kalvi Madani, untuk membantu 5,000 pelajar SPM dan STPM daripada keluarga B40 membuat persediaan peperiksaan.

Program tuisyen itu melibatkan peruntukan RM5 juta dan permohonan akan dibuka mulai 5 Jun kepada pusat tuisyen berdaftar bawah Kementerian Pendidikan.

Bagi keusahawanan, MITRA memperkenalkan Program Bantuan Geran Startup Accelerator, atau Uyarvu Madani, untuk usahawan India B40 dan M40.

Program itu menawarkan geran secara berfasa sehingga RM50,000 bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan dalam pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, e-dagang, automotif, teknologi digital, pertanian, percetakan dan perkhidmatan komuniti.

Dalam aspek kesihatan dan kebajikan, kerajaan turut memperkenalkan subsidi dialisis sehingga RM5,000 setahun untuk 1,300 pesakit buah pinggang kronik, selain bantuan individu sehingga RM5,000 kepada keluarga India B40 yang memerlukan, tertakluk kepada penilaian kes demi kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.