Sering dilanda banjir, SJKC Lee Min cari dana untuk berpindah

Sering dilanda banjir, SJKC Lee Min cari dana untuk berpindah

Sekolah itu sudah mengumpul RM13.5 juta, namun masih kekurangan dana daripada RM30 juta diperlukan bagi membiayai pembinaan premis baharu di Bandar Bestari.

children flood
Murid-murid meredah air banjir di koridor SJKC Lee Min ketika banjir pada Disember 2025. (Gambar SJKC Lee Min )
PELABUHAN KLANG:
Jika cuaca buruk berlaku pada malam sebelumnya, hari persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Min biasanya bermula dengan penuh kesukaran.

Ibu bapa terpaksa meredah jalan masuk yang dinaiki air untuk menghantar anak ke sekolah manakala guru pula memimpin murid melalui bangku yang dijadikan jambatan sementara merentasi koridor yang tenggelam.

Murid dan kakitangan sekolah berusia 82 tahun itu, yang kini mempunyai 141 murid dalam lapan kelas, berdepan banjir antara 10 hingga 20 kali setahun sejak 2014.

Walaupun berdepan keadaan sedemikian, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang dikatakan terus menolak permohonan sekolah itu untuk berpindah dari lokasi sekarang di Kampung Teluk Gong — sehinggalah pada Februari 2025 apabila permohonan itu akhirnya diluluskan.

Tapak seluas 2 hektar di Bandar Bestari, kira-kira 4.18km dari lokasi sekarang, sudah diwartakan, dengan kerja pembinaan dijadualkan bermula pada Jun.

Namun, sekolah itu kini berdepan satu lagi masalah — dana masih tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan sekolah baharu.

Dari sekolah kampung ke kawasan pinggir industri

Pengerusi Lembaga Yeo Jue Chuan yang juga bekas murid era 1970-an, berkata sekolah itu suatu ketika dahulu menjadi sebahagian penting kehidupan penduduk kampung.

lee min staff
Kakitangan dan ahli lembaga SJKC Lee Min: dari kiri, penolong kanan hal ehwal murid Tang Mee Lin, pengerusi lembaga sekolah dan bekas murid Yeo Jue Chuan, pengerusi jawatankuasa pemindahan Jason Lee, guru besar Lim Chee Siong, dan guru Matematik Lee Lay Chen.

“Beberapa generasi keluarga saya belajar di sini. Tetapi menjelang 1980-an, kilang mula memasuki kawasan kampung, membawa pencemaran, trafik teruk dan kemalangan yang kerap berlaku,” katanya kepada FMT.

Dalam kajian dijalankan lembaga sekolah pada Nov 2022, sebanyak 1,566 kenderaan direkodkan melalui jalan utama menuju ke sekolah antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi, iaitu waktu puncak.

Ketika tinjauan FMT, kelihatan deretan panjang lori di satu-satunya jalan masuk ke sekolah itu.

Jalan sempit berkenaan dipenuhi lubang, dipercayai akibat terlalu kerap dilalui lori berat yang keluar masuk dari kilang-kilang berhampiran.

Malah, masalah trafik dan pencemaran itulah yang mendorong lembaga sekolah memulakan usaha memindahkan sekolah pada 2013, setahun sebelum banjir kerap mula berlaku.

Hujan, cuci dan ulang

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Tang Mee Lin berkata apabila banjir berlaku pada waktu malam, ibu bapa akan dimaklumkan dan diingatkan supaya menghantar anak ke sekolah dengan memakai but.

“Pada Disember tahun lalu, air naik begitu tinggi sehingga guru dan ibu bapa tidak dapat masuk ke kawasan sekolah, jadi pembelajaran terpaksa dijalankan melalui Google Meet,” katanya.

teacher carrying student
Guru mengangkat murid melalui koridor yang dinaiki air di SJKC Lee Min selepas hujan lebat pada 2025. (Gambar SJKC Lee Min )

Malah ketika minggu peperiksaan, murid terpaksa melalui koridor yang dinaiki air menggunakan jambatan sementara daripada bangku untuk ke dewan dan tandas.

“Kadang-kala, guru juga bergilir-gilir mengangkat murid dari kereta dan motosikal ibu bapa masuk ke kawasan sekolah,” kata Tang.

Dengan jumlah pekerja pembersihan yang tidak ramai, guru dan ahli lembaga sekolah turut membantu membersihkan bilik darjah sebelum sesi pembelajaran pertama bermula.

“Tetapi yang paling memenatkan ialah apabila hujan turun lagi pada malam berikutnya. Setiap kali banjir, cacing akan merayap naik ke dinding dan masuk ke bilik darjah,” tambah Tang.

Guru Matematik Lee Lay Chen berkata hujan lebat dan banjir ketika waktu pembelajaran jelas mengganggu tumpuan murid.

“Mereka risau sama ada rumah mereka turut dinaiki air atau tidak, kerana kawasan sekitar rendah dan air naik dengan cepat. Akibatnya, mereka tidak dapat memberi perhatian dalam kelas,” katanya.

Tang berkata gangguan itu memaksa guru mengubah rancangan pengajaran bagi mengurangkan kesan terhadap pembelajaran murid.

“Kami sentiasa mencuba pendekatan pengajaran berbeza untuk memastikan prestasi akademik murid tidak terjejas, walaupun dalam keadaan seperti ini,” katanya.

Halangan pindah, dana masih kurang

Pengerusi jawatankuasa pemindahan Jason Lee berkata PPD menolak permohonan pemindahan sekolah itu sebanyak tiga kali sejak usaha berkenaan dimulakan pada 2013. Katanya, pegawai ketika itu berpendapat masalah seperti trafik dan banjir masih ‘boleh diuruskan’.

Namun, keadaan berubah selepas Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor menjalankan tinjauan pada Disember 2023.

flood board
Papan kenyataan di SJKC Lee Min yang merekodkan kejadian banjir antara 2022 dan 2026.

Tinjauan itu mendapati kedudukan sekolah hampir satu kaki lebih rendah daripada paras jalan, dan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menghalang banjir daripada kerap berlaku.

Berbekalkan laporan itu, lembaga sekolah mengemukakan semula permohonan pemindahan kepada Kementerian Pendidikan pada awal 2024.

Tapak di Bandar Bestari diwartakan pada Oktober 2024, manakala kelulusan penuh diberikan pada Februari 2025.

Namun, pemindahan sekolah itu memerlukan kos besar dengan bangunan baharu dijangka menelan belanja RM30 juta.

Memandangkan tanah itu kini menjadi milik kerajaan, lembaga sekolah tidak mempunyai aset untuk dijual.

Sejak Mei 2025, sekolah itu berjaya mengumpul RM13.5 juta melalui lebih 200 program kutipan dana dan sumbangan, sebahagian besarnya daripada persatuan Cina dan acara kuil.

Namun, mereka masih kekurangan RM16.5 juta.

“Lebih 80% masyarakat Cina di Klang sudah tahu tentang usaha pemindahan kami, dan ramai bertanya mengapa kami tidak mendapatkan sokongan kerajaan sahaja.

“Kami sudah cuba sedaya upaya dengan usaha sendiri,” kata Jason Lee.

Lembaga sekolah kini merayu kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat korporat supaya memberikan peruntukan khas.

Tanpa bantuan itu, katanya, sasaran pembukaan sekolah baharu pada 2028 mungkin tertangguh ke 2029 atau lebih lewat.

“Buat masa ini, setiap kali hujan lebat turun pada waktu malam, kami hanya mampu bimbang banjir akan berlaku lagi. Masalah ini hanya boleh diselesaikan dengan pemindahan,” katanya.

FMT telah menghubungi PPD Klang untuk maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.