
Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS, Haim Hilman Abdullah, berkata penyusunan semula program pengajian di institusi pendidikan tinggi perlu dibuat berdasarkan permintaan sebenar pasaran kerja, termasuk menghentikan kursus yang tidak lagi relevan.
“Pendidikan mesti menjadi enjin ekonomi negara, bukan sekadar sistem akademik,” katanya di Facebook, mengulas hasil dapatannya berhubung perbincangan dalam Kongres Pendidikan Bumiputera baru-baru.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, sistem pendidikan negara kini berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan perubahan menyeluruh, bukan sekadar penambahbaikan kecil.
Katanya, sistem pendidikan tinggi ketika ini dilihat tidak lagi selari keperluan ekonomi sebenar apabila universiti seolah-olah menjadi ‘kilang graduan’ yang gagal memenuhi kehendak industri.
Dakwanya, kira-kira 1.65 juta graduan bekerja di bawah kelayakan, 165,000 masih menganggur tetapi aktif mencari pekerjaan.
“Manakala 838,000 lagi tidak bekerja dan tidak mencari pekerjaan, menjadikan keseluruhan sekitar 2.6 juta graduan tidak berada dalam kedudukan pekerjaan yang sesuai. Ini menunjukkan berlaku krisis padanan antara pendidikan dan pasaran kerja yang serius,” katanya.
Exco Kedah itu turut menegaskan universiti kini semakin hilang fungsi asal sebagai pusat pemacu ilmu, inovasi dan kepimpinan, sebaliknya terperangkap dalam birokrasi, penetapan KPI yang sempit serta kekangan campur tangan politik.
“Institusi pendidikan tidak lagi menjadi pusat idea besar. Kepimpinan universiti pula tidak cukup berani melakukan perubahan kerana terikat dengan struktur sedia ada,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu di peringkat sekolah rendah dan menengah, termasuk masalah literasi dan numerasi yang berlarutan serta jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar semakin melebar.
Katanya, guru kini dibebankan dengan tugas pentadbiran sehingga menjejaskan fokus terhadap pengajaran, manakala kurikulum pula terlalu padat tanpa memberi penekanan kepada pembinaan pemikiran kritikal.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengaudit keseluruhan sistem pendidikan negara merangkumi kurikulum, institusi, hasil pembelajaran serta impak terhadap sosioekonomi.
Menurutnya, krisis kepimpinan dan ketiadaan penyelarasan jelas antara dasar pendidikan dan ekonomi menyebabkan reformasi dilakukan setakat ini bersifat kosmetik dan tidak menyelesaikan akar masalah.