
Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata dapatan itu turut menunjukkan kira-kira 19% daripada mereka menghidap diabetes, manakala 17.45% pekerja mempunyai tekanan darah tinggi.
Beliau berkata, analisis itu juga menunjukkan kira-kira 59.24% yang menjalani saringan didapati mempunyai masalah kolesterol tinggi dengan profil risiko terlibat berada dalam kalangan pekerja berusia 40 hingga 59 tahun.
“Kita perlu sedar bahawa memasuki fasa usia sebelum persaraan ialah tempoh produktif, tetapi pada masa yang sama, ia merupakan tempoh kritikal bagi risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Malah, Kementerian Kesihatan juga mendedahkan hanya 14.7% warga emas di Malaysia ketika ini dapat mencapai tahap penuaan sejahtera,” katanya berucap pada majlis perasmian program Perkeso Run and Ride 2026 sempena Hari Pekerja 2026.
Khairul Firdaus turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyakit kanser yang kekal sebagai punca kematian ketiga tertinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini semakin kerap berlaku dalam kalangan usia muda.
Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar kesedaran mengenai bahaya NCD tidak dipandang ringan dan pekerja disarankan untuk membudayakan hidup sihat serta pemakanan seimbang.