Kesuma pelawa majikan, pekerja sertai kajian semula Perintah Gaji Minimum

Kesuma pelawa majikan, pekerja sertai kajian semula Perintah Gaji Minimum

Tinjauan dalam talian bermula 6 Mei hingga 19 Jun terbuka kepada semua majikan dan pekerja sektor swasta di seluruh negara.

office
Kesuma sedang kaji semula PGM 2024 bermula Januari hingga September ini, bagi memastikan kadar gaji minimum negara kekal relevan dengan keadaan ekonomi semasa.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyeru agar semua majikan dan pekerja agar memberikan kerjasama dan mengambil bahagian dalam tinjauan dalam talian berkaitan kajian semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 yang sedang dijalankan sejak Januari.

Menurut kementerian, tinjauan dalam talian yang bermula 6 Mei hingga 19 Jun ini terbuka kepada semua majikan dan pekerja sektor swasta di seluruh negara.

Selain itu, Kesuma turut mengalu-alukan memorandum atau pandangan bertulis daripada majikan, persatuan majikan, pekerja dan kesatuan sekerja yang boleh dihantar melalui e-mel [email protected].

Kementerian itu berkata, langkah itu penting bagi memastikan pandangan semua pemegang kepentingan diambil kira dalam membentuk dasar gaji minimum yang lebih inklusif, responsif dan mampan demi masa depan tenaga kerja negara.

Kesuma menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang melaksanakan kajian semula PGM 2024 bermula Januari hingga September ini.

Menurutnya, kajian berkenaan bagi memastikan kadar gaji minimum negara kekal relevan dengan keadaan ekonomi semasa, kos sara hidup, daya pengeluaran pekerja dan perkembangan pasaran buruh negara.

“Dapatan daripada kajian ini akan digunakan sebagai input penting dalam proses penilaian dan syor kepada kerajaan berkaitan pelaksanaan serta penetapan dasar gaji minimum negara pada masa hadapan.

“Ia turut membantu memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja, kelangsungan perniagaan dan daya tahan ekonomi negara dapat terus diperkukuh secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Kesuma memaklumkan sesi libat urus turut dilaksanakan di 21 lokasi seluruh negara bermula 30 Mac hingga 29 April bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung daripada majikan, pekerja, persatuan majikan serta kesatuan sekerja berhubung pelaksanaan PGM 2024.

“Sesi berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman pihak berkepentingan mengenai dasar gaji minimum selain menggalakkan pelaksanaan sistem gaji yang lebih efektif, adil dan mampan selaras dengan keperluan semasa negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.