
Beliau berkata, perkara ini didorong kenaikan kos dalam rantaian bekalan, termasuk logistik, baja serta input industri lain.
“Berdasarkan kajian dan analisis dijalankan, kesan ini akan memberi impak kepada harga makanan dan barangan harian, walaupun kenaikannya mungkin tidak begitu ketara pada peringkat awal,” katanya kepada Bernama selepas meninjau Pasar Taman Muda, di sini.
Zafrul berkata, antara sektor dijangka terkesan terlebih dahulu ialah logistik, diikuti pertanian serta industri bergantung kepada bahan mentah seperti plastik.
Menurutnya, situasi itu kesan daripada gangguan rantaian bekalan global yang bukan sahaja memberi tekanan kepada harga minyak, tetapi turut melibatkan kos input pengeluaran dan pengedaran.
Mengenai tinjauan di pasar itu, Zafrul berkata, setakat ini, kesan terhadap harga bahan mentah belum ketara, namun terdapat tanda awal seperti kenaikan kos bahan pembungkusan.
Bagaimanapun, katanya, keadaan dalam negara masih terkawal berikutan subsidi bahan api membantu mengekang kos pengangkutan, sambil mengingatkan rakyat lebih berhemah dalam penggunaan tenaga, termasuk bahan api.