Krisis bekalan global peluang Malaysia jadi destinasi pelaburan selamat

Krisis bekalan global peluang Malaysia jadi destinasi pelaburan selamat

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Zafrul Aziz berkata aspek keselamatan tenaga antara faktor utama pertimbangan pelabur global.

Tengku Zafrul Aziz
Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia mempunyai rekod ekonomi kukuh dan ekosistem pelaburan berdaya tahan dalam berdepan pelbagai krisis global. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Krisis bekalan global perlu dilihat peluang untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan selamat dan berdaya tahan, kata Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai rekod ekonomi kukuh serta ekosistem pelaburan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai krisis global sebelum ini.

“Ini adalah peluang. Dalam setiap krisis, ada peluang yang perlu kita manfaatkan. Negara kita telah membuktikan ekonomi Malaysia serta ekosistem pelaburan kita mampu mengharungi pelbagai cabaran, dan dasar sedia ada terus menyokong kestabilan ini.

“Perkara ini sedikit sebanyak akan terus meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan menerusi Program Bakul Rahmah anjuran Yayasan Tengku Zafrul Aziz dengan kerjasama Pejabat Adun Teratai di sini.

Seramai 350 penerima pelbagai kaum, termasuk warga emas, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah menerima sumbangan dalam program berkenaan.

Turut hadir Adun Teratai, Yew Jia Haur serta pemimpin setempat.

Zafrul berkata, Malaysia perlu terus memposisikan diri sebagai destinasi pelaburan stabil, selamat dan diyakini pelabur antarabangsa.

Tegasnya, aspek keselamatan tenaga antara faktor utama dalam pertimbangan pelabur global.

“Keselamatan tenaga antara kebimbangan utama syarikat dan pelabur.

“Malaysia menunjukkan kestabilan serta daya tahan dalam aspek tenaga, dan ini membuktikan kita mempunyai asas yang kukuh. Ini antara sebab mengapa ramai pelabur melihat Malaysia sebagai negara yang selamat dan stabil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.