Dasar Peluang Kedua bantu golongan sasar segera lepas bankrap

Dasar Peluang Kedua bantu golongan sasar segera lepas bankrap

Dasar bantu empat kumpulan sasar termasuk ibu atau bapa tunggal dan mangsa 'scam', kata menteri.

AZALINA_OTHMAN
Azalina Othman Said berkata, menerusi Dasar Peluang Kedua Fast Track, ibu atau bapa tunggal dapat kembali bekerja, usahawan boleh berniaga semula dan mangsa scam mampu tarik nafas lega.
PUTRAJAYA:
Kerajaan memperkenalkan Dasar Peluang Kedua Fast Track bertujuan memberikan laluan ekspres dan mempercepat mekanisme pelepasan bagi empat golongan kumpulan sasar bankrap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, dasar itu diperkenalkan bagi membantu kumpulan sasar bangkit semula membina kehidupan dan terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Empat kumpulan sasar yang diterima dalam Dasar Peluang Kedua Fast Track itu terdiri daripada ibu atau bapa tunggal, usahawan pinjaman mikro, mangsa penipuan kewangan (scammer), dan peminjam perumahan bagi projek perumahan terbengkalai.

“Maka, ibu atau bapa tunggal dapat kembali bekerja, usahawan boleh berniaga semula dan mangsa scam mampu menarik nafas lega,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua Fast Track Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) hari ini.

“Fast Track ini bukan sekadar penjenamaan baharu, tetapi komitmen Madani untuk mempercepat keadilan melalui dasar yang empati bagi menyelamatkan mereka daripada kitaran hutang tiada kesudahan supaya mereka bangkit semula dengan bermaruah.”

Azalina berkata, Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua Fast Track lahir daripada satu prinsip yang jelas dalam Kerangka Malaysia Madani, iaitu rukun Ihsan.

“Ini cerminan pendekatan kerajaan Madani yang tidak bersifat menghukum selamanya. Madani memberikan ruang untuk rakyat bangkit dan percaya bahawa setiap rakyat berhak diberi peluang kedua,” katanya.

“Kerajaan Madani berpendirian bahawa kegagalan kewangan bukanlah noktah atau pengakhiran kepada sebuah kehidupan. Ia boleh menjadi titik kebangkitan jika sistem kita adil, efisien dan paling penting, berperikemanusiaan.”

Dalam pada itu, Azalina berkata, MdI berjaya menyelesaikan 176,851 kes pelepasan bankrap bagi 2024 dan 204,487 kes tahun lepas.

“Ini bukan angka semata-mata, tetapi lebih 381,000 kehidupan yang mendapat nafas baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.