Asia Tenggara segerakan peralihan kepada tenaga hijau hadapi krisis global

Asia Tenggara segerakan peralihan kepada tenaga hijau hadapi krisis global

Negara seperti Filipina, Laos dan Vietnam, yang sangat bergantung kepada bahan api import sedang pergiat infrastruktur tenaga boleh baharu.

Isyarat kuat menunjukkan dasar tenaga serantau kini beralih kepada tenaga hijau, seperti tenaga solar dan hidroelektrik, ketika rantaian bekalan minyak dan gas terganggu akibat pergolakan berterusan di Asia Barat.
PHNOM PENH:
Ekonomi Asia Tenggara kini sedang mempercepat pelan tenaga boleh baharu memandangkan jaminan tenaga berasaskan bahan api fosil di rantau ini berdepan cabaran hebat susulan krisis tenaga global.

Isyarat kuat menunjukkan dasar tenaga serantau kini beralih kepada tenaga hijau ketika rantaian bekalan minyak dan gas terganggu akibat pergolakan ketenteraan yang berterusan di Asia Barat.

Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) Fatih Birol menyifatkan krisis bahan api yang sedang berlaku sebagai ‘ancaman keselamatan tenaga terbesar dalam sejarah’.

“Namun, tiada kapal tangki baharu yang dimuatkan pada Mac. Tiada penghantaran baharu minyak, gas atau bahan api ke pasaran Asia,” kata Birol, lapor media antarabangsa.

“Jurang ini kini mula kelihatan. Jika Selat Hormuz tidak dibuka semula, kita perlu bersedia untuk menghadapi harga tenaga yang jauh lebih tinggi.”

Kerajaan di seluruh rantau ini, seperti Filipina, Kemboja, Laos dan Vietnam, yang sangat bergantung kepada bahan api import sedang mempergiat infrastruktur tenaga boleh baharu masing-masing.

Jabatan Tenaga Filipina, yang mengimport sebahagian besar bahan apinya dari Asia Barat, sedang mempercepatkan 22 projek tenaga boleh baharu, termasuk kemudahan penyimpanan bahan api.

Ia merangkumi 12 projek solar, enam loji hidroelektrik, dua kemudahan biojisim, satu projek angin dan satu sistem tenaga boleh baharu bersepadu, lapor Agensi Berita Filipina pada Jumaat.

Pada awal April, Kemboja melancarkan empangan hidroelektrik simpanan pam bernilai USD1 bilion (RM3.95 bilion) dengan kapasiti 1,000 megawatt di wilayah Koh Kong.

Bagi merangsang agenda tenaga hijaunya, Majlis Pembangunan Kemboja meluluskan pelaburan USD200 juta (RM791 juta) pada Februari untuk membina loji kuasa angin 150 megawatt di wilayah utara Mondulkiri.

Sekurang-kurangnya 60% daripada penjanaan kuasa di negara itu kini diperoleh daripada sumber boleh baharu, terutamanya kuasa hidro, solar, angin dan biojisim. Kerajaan Kemboja menyasarkan untuk meningkatkan penggunaan tenaga bersih kepada 70% menjelang 2030.

Sementara itu, wilayah tengah Vietnam, Gia Lai, pada Jumaat meluluskan pelaburan bernilai USd190 juta (RM751 juta) untuk tiga loji janakuasa suria dan satu projek ladang angin.

Projek-projek itu disasarkan untuk membekalkan tenaga boleh baharu ke grid nasional menjelang akhir 2028.

Di Myanmar, Loji Janakuasa Solar Shwe Myoh yang terletak di Nay Pyi Taw dijangka menjana elektrik pada Jun tahun ini, lapor media rasmi The Global New Light of Myanmar.

Penganalisis Hubungan Antarabangsa Global Asia Consulting yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Zokhri Idris memberitahu Bernama, kerajaan sepatutnya menerima pakai agenda tenaga boleh baharu beberapa tahun lepas sebelum krisis sebenar melanda.

Malah, Asean telah menyediakan pelbagai rangka kerja untuk mengurus keselamatan tenaga. Sebagai contoh, Perjanjian Keselamatan Petroleum Asean (Apsa) 1986, Grid Kuasa Asean (APG) dan Paip Gas Trans-Asean (TAGP), katanya.

“Tetapi negara-negara berkenaan, terutamanya negara membangun dan kurang membangun sedang bergelut untuk memenuhi sasaran kerana mereka berdepan isu lain yang lebih mendesak,” kata Zokhri.

“Filipina akan mempercepatkan pemformalan APSA tahun ini memandangkan negara itu terjejas teruk dan darurat tenaga telah diisytiharkan. Dalam jangka sederhana, saya menjangkakan negara-negara Asean akan memudah cara Apsa, APG dan TAGP dengan lebih serius.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.