
Khailee Ng, rakan kongsi di firma modal teroka 500 Global berkata, banyak kerajaan di rantau ini menganggap AI sama seperti media sosial suatu ketika dahulu – sekadar trend baharu, bukannya infrastruktur penting.
“Saya bimbang Asia Tenggara kini berada pada ambang era keemasan baharu, tetapi tidak rebut peluang ini,” katanya dalam episode audio siar Keris & Silicon, yang dihoskan oleh bekas ketua penerangan Pemuda Umno Shahril Hamdan.
“Saya khuatir negara-negara Asia Tenggara sedang bersaing sesama sendiri, buat hal masing-masing, dan tidak gabung kuasa rundingan untuk benar-benar manfaatkannya sebagai kelebihan dalam perjanjian-perjanjian yang sangat penting.”
Ng membandingkan isu itu dengan sejarah petroleum Malaysia, menyatakan bahawa kerajaan mesti menganggap AI sebagai utiliti awam, sama seperti elektrik atau petroleum.
Jika tidak, katanya, rantau ini berisiko menyerahkan kawalan teknologi tersebut kepada pihak asing.
“Bayangkan jika kita tidak tubuhkan Petronas … tahu-tahu sahaja, mereka (pihak asing) miliki banyak telaga minyak dan minyak kita diambil oleh orang lain,” katanya.
Jika rantau ini gagal bertindak pantas, kata Ng, ‘ia akan memusnahkan rantau ini dalam masa 10 tahun’.
Walaupun Asia Tenggara telah memperoleh komitmen pelaburan AI bernilai lebih USD55 bilion, masih belum ada rangka kerja Asean yang seragam meliputi isu-isu seperti kedaulatan data, pindahan teknologi dan syarat pelaburan.
Sebaliknya, negara-negara anggota berunding secara berasingan, dengan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan bernilai USD2.2 bilion daripada Microsoft, Indonesia USD1.7 bilion, dan Thailand USD2.7 bilion.
Ng juga berkata, Asia Tenggara boleh meletakkan kedudukan rantau itu sebagai zon neutral ketika AS dan China bersaing untuk mendominasi teknologi AI.
Beliau menggalakkan syarikat pemula AI di rantau ini mencari pembiayaan peringkat awal di San Francisco, yang disifatkannya sebagai pusat pelaburan AI global.
“Bukan di New York atau Boston, (sebaliknya) perlu pergi ke San Francisco dan dapatkan sebahagian dana AI ini selagi masih ada,” katanya.
Taktik ‘bundling’ China
Sepanjang episod audio siar itu, Ng turut menyentuh tentang kadar penggunaan AI di China, membandingkannya dengan kebergantungan Asia Tenggara terhadap syarikat teknologi asing yang perniagaan utamanya adalah menjual produk hiburan serta gaya hidup kepada rantau ini.
Beliau berkata, syarikat teknologi gergasi China membenamkan keupayaan AI, termasuk model bahasa besar (LLM), secara langsung ke dalam tawaran mereka. Ia sering ditawarkan tanpa sebarang kos kepada pengguna sebagai cara mendorong penggunaan secara besar-besaran.
“Mereka sanggup berikan LLM dan kredit secara percuma – asalkan kita mula gunakannya dan ketagih dengan ‘dadah’ AI. Mereka berani untuk mendesak,” katanya.
Media rasmi China pada Februari melaporkan negara itu mempunyai 602 juta pengguna AI generatif setakat Disember tahun lepas, melonjak 141.7% berbanding penghujung 2023, dengan 254,000 perusahaan kecil dan sederhana baharu berteraskan AI didaftarkan pada suku pertama 2025 sahaja.