
Beliau berpandangan kebangkitan semula BN bergantung pada keupayaan untuk meyakinkan pengundi bahawa ia telah benar-benar berubah selepas kekalahan pada 2018 dan 2022.
“Jangan tersilap anggap bahawa rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbiran sekarang bermakna mereka bersedia untuk menyokong BN apabila keadaan mendesak.
“Apakah sebenarnya yang telah berubah dalam parti itu yang boleh membuatkan orang yang tidak menyokongnya pada 2018 dan 2022 mahu menyokongnya sekarang?” katanya pada Persidangan Affin Market Outlook 2026.
Beliau berkata demikian selaku ahli panel dalam sesi ‘Malaysia’s Investment Future: Resilience, Reform & Returns’, apabila beliau ditanya sama ada gabungan pemerintah mampu mengekalkan kuasa selepas PRU.
Bekas timbalan menteri perdagangan, Ong Kian Ming, turut tampil sebagai ahli panel, manakala Peter Yong, pengasas bersama Mr Money TV, memudah cara sesi.
Shahril menjelaskan masalah BN bukan sekadar persepsi awam, tetapi sama ada kepimpinan, budaya dalaman, dan mesej Umno kelihatan berbeza secara bermakna.
“Wajah-wajah yang sama. Set dasar yang sama. Dinamik yang sama. Anda mempunyai wajah-wajah yang kononnya progresif tetapi juga ahli politik sayap kanan kekal menjadi teras parti.”
Beliau berkata perkara itu boleh membuka gelanggang bagi tokoh-tokoh lawan arus (anti-establishment) menarik pengundi yang tidak berpuas hati dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi masih enggan kembali kepada BN.
Menamakan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dan bekas presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Shahril berkata mereka membina jenama politik dengan mempamerkan diri mereka di luar arus.
“Jenama mereka adalah integriti… Mereka tidak mengkhianati prinsip, tidak buat rundingan sulit, dan bukan ahli politik biasa.”
Beliau berpendapat tokoh-tokoh sedemikian mungkin tidak akan meraih kerusi secukupnya untuk membentuk kerajaan, namun boleh memecahkan undi sehingga merugikan PH dan BN.
Katanya, ini boleh membawa kepada senario pasca-pilihan raya di mana Perikatan Nasional (PN) menjadi terlalu dominan sehingga BN tidak dapat menuntut jawatan perdana menteri.
“Jika PN dan BN masing-masing tidak memenangi kira-kira 60 kerusi, dan keputusannya lebih menjurus kepada PN memenangi 90 kerusi manakala BN 30, maka imbangan sudah berubah. Sukar untuk memberikan jawatan perdana menteri kepada BN jika bilangan kerusi BN lebih kecil.”
PRU16 dijadualkan selewat-lewatnya pada Februari 2028, di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin memanggil pilihan raya awal, berkemungkinan pada separuh kedua 2026, agar seiring dengan PRN Melaka dan Johor.
BN memberi isyarat bahawa ia berhasrat untuk bertanding PRU secara bebas, meskipun sebelum ini ia mahu kerajaan perpaduan diteruskan sehingga PRU16.
Bagaimanapun, Pengerusi Zahid Hamidi berkata BN mungkin meneruskan pakatan pilihan raya dengan parti-parti lain bagi mengelakkan pertindihan kerusi.