Elak pemimpin DAP ‘besar kepala’, Chua syor undi strategik kaum Cina

Elak pemimpin DAP ‘besar kepala’, Chua syor undi strategik kaum Cina

Bekas presiden MCA Chua Soi Lek berkata pengundi mungkin boleh mengekalkan sokongan kepada DAP di kawasan majoriti tegar namun beralih kepada BN di kerusi campuran.

Chua Soi Lek
Chua Soi Lek menjadi tetamu pada program audio siar Keluar Sekejap kendalian Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
PETALING JAYA:
Bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek menggesa masyarakat Cina menjadi ‘pengundi strategik’ pada pilihan raya akan datang bagi mengelakkan dominasi mutlak DAP yang boleh membawa kepada sikap “besar kepala” sesetengah pemimpin.

Beliau berkata pengundi mungkin boleh mengekalkan sokongan kepada DAP di kawasan majoriti tegar atau lebih 70% pengundi Cina, namun beralih kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan campuran.

Menurutnya, ia bagi memastikan wujudnya semak dan imbang yang berkesan di Parlimen serta DUN.

“Kalau kita benarkan DAP lagi dominan, masyarakat Cina kena berhati-hati. Sekarang sebahagian pemimpin DAP sudah besar kepala dan menganggap sokongan daripada masyarakat Cina adalah automatik dan semestinya berlaku.

“Ada calon diletakkan secara tiba-tiba di sesetengah kawasan terus menang, sehingga ada yang angkuh bertanya, ‘apa yang susahnya untuk menang pilihan raya?’. Mereka ini akhirnya ‘hilang diri’,” katanya dalam program audio siar Keluar Sekejap.

Program itu dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Chua yang juga bekas menteri kesihatan turut mendakwa ada masyarakat Cina kecewa terhadap DAP akibat janji reformasi tidak tertunai, meskipun sokongan mencecah 80% di sesetengah kawasan sebelum ini.

Tambahnya, wujud trend antara 10 hingga 15% pengundi mahu memboikot atau merosakkan undi namun beliau berpandangan ia langkah berisiko kerana parti menang tanpa sokongan Cina mungkin tidak akan melayan tuntutan kaum itu selepas pilihan raya.

Mengulas landskap politik di Johor menjelang PRN, Chua mendedahkan sokongan pengundi Cina dan India terhadap BN kembali meningkat disebabkan faktor kepimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Beliau memuji pendekatan Onn Hafiz yang dianggap ‘tiada protokol’, menepati masa dan komited terhadap kebajikan masyarakat bukan Melayu.

“Dalam tempoh tiga tahun, beliau telah menyalurkan RM50 juta kepada komuniti Cina. Bagi kaum India pula, tiada kuil dirobohkan, malah 18 plot tanah diserahkan selain bantuan sebanyak RM20 juta,” katanya.

Chua meramalkan BN pada PRN akan datang mampu menambah antara tiga hingga empat lagi kerusi tambahan daripada 40 sedia ada.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan itu bergantung sepenuhnya kepada keakraban hubungan antara parti komponen iaitu Umno, MCA dan MIC.

“Hubungan antara komponen seharusnya mesra dan bekerja sebagai satu pasukan.

“MCA hanya akan lebih yakin untuk menang kerusi Parlimen jika mendapat sokongan padu daripada jentera Umno di lapangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.