Kenaikan diesel tekan industri kawalan perosak

Kenaikan diesel tekan industri kawalan perosak

Kos operasi meningkat hingga tiga kali ganda, pemain industri mohon subsidi bersasar.

Wakil industri dan syarikat kawalan makhluk perosak mengadakan sidang media berhubung kesan kenaikan bahan bakar. (Gambar BIPM)
PETALING JAYA:
Kenaikan harga diesel memberi tekanan besar kepada industri kawalan makhluk perosak, sekali gus berpotensi menjejaskan usaha pencegahan penyakit bawaan vektor jika perkhidmatan tidak dapat dilaksanakan secara berterusan.

Presiden Bumiputera Integrated Pest Management Malaysia (BIPM) Wan Mohd Yusri Wan Rawi berkata industri itu memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan awam melalui aktiviti kawalan di lapangan.

“Ketika ini, kenaikan harga diesel dan petrol amat membebankan pengusaha, sama ada syarikat kecil mahupun syarikat besar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata antara perkhidmatan utama ialah penyemburan bagi membunuh nyamuk serta operasi lain bagi memastikan premis dan komuniti bebas ancaman makhluk perosak.

Konflik berterusan di Timur Tengah dan rantau Teluk telah mengganggu aliran minyak di seluruh dunia, membawa kepada peningkatan harga minyak mentah.

Kumpulan perniagaan merungut bukan sahaja harga bahan api yang lebih tinggi, malah ditambah ketidakpastian menyelubungi rantaian bekalan, mula menjejaskan keuntungan mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengurusan Kawalan Perosak Malaysia Regine Lim berkata sebahagian syarikat masih terikat dengan kontrak lama yang tidak lagi selari dengan kos operasi semasa.

“Diesel merupakan bahan penting dalam operasi kawalan makhluk perosak, termasuk sebagai bahan pembawa dalam aktiviti penyemburan serta untuk tujuan logistik harian syarikat.

“Penggunaan diesel dianggarkan melebihi 4.4 juta liter sebulan melibatkan 1,870 syarikat berdaftar di bawah Lembaga Racun Makhluk Perosak Malaysia,” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai pengusaha terpaksa menanggung kos tinggi, malah ada yang berdepan kerugian.

Wan Mohd Yusri berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan serta menghantar surat susulan bagi memohon pertimbangan subsidi diesel kepada industri itu.

“Sebahagian besar syarikat menggunakan kenderaan pikap untuk operasi, namun ia tidak termasuk dalam kategori subsidi sedia ada,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan bersasar memandangkan industri tersebut penting dalam melindungi kesihatan awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.