Cadang tangguh PRN hanya pandangan peribadi, kata Ahmad Maslan

Cadang tangguh PRN hanya pandangan peribadi, kata Ahmad Maslan

Ahli Parlimen Pontian sebelum ini berkata usul menangguhkan PRN akan dibawa ke Mesyuarat MKT Umno pada Jumaat di Melaka, berikutan krisis Asia Barat.

ahmad maslan
Ahmad Maslan berkata beliau menyuarakan cadangan itu berdasarkan pengalamannya sebagai ketua penerangan dan setiausaha agung Umno di mana faktor ketepatan masa atau ‘timing’ dalam politik amat penting.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata cadangannya supaya PRN Johor dan Melaka ditangguhkan adalah pendapat peribadi beliau dan bukannya pendirian atau keputusan parti.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata ia disuarakan berdasarkan pengalamannya sebagai ketua penerangan dan setiausaha agung Umno di mana faktor ketepatan masa atau ‘timing’ dalam politik amat penting.

“Saya memberi pandangan atas pendapat peribadi. Itu bukan keputusan Umno Johor atau mana-mana keputusan mesyuarat tertinggi,” katanya melalui kenyataan, menurut Berita Harian.

Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata akan membawa usul untuk menangguhkan PRN berkenaan ke Mesyuarat MKT Umno yang akan diadakan Jumaat ini di Melaka, berikutan krisis Asia Barat.

Menurutnya, keadaan semasa dilihat kurang sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat masih berdepan pelbagai kesan ekonomi termasuk isu harga bahan api.

Dalam pada itu, Ahmad memberi contoh PRU15 yang disifatkan beliau sebagai kesilapan ‘timing’ yang menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa.

“PRU15 adalah kesilapan ‘timing’ di mana sepatutnya diadakan selepas kejayaan PRN Johor pada Mac 2022 dan bukannya selepas Najib Razak dipenjarakan pada Ogos 2022.

“Ketika itu emosi rakyat penuh dengan marah dan kecewa. Tidak boleh membuat sesuatu yang penting seperti PRN ketika emosi rakyat pada tahap negatif seperti marah dan kecewa ketika kenaikan diesel dan harga barang,” katanya.

Ahmad berkata, ketika ini emosi rakyat, pada pandangan beliau, penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.

“Jika pandangan saya itu baik, boleh diikut. Jika tidak baik, maka abaikan sahaja.

“Namun jangan lupa bahawa politik juga adalah seni mengurus emosi dan seni mendengar denyut nadi rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.