PM jelas isu 40% hak Sabah esok

PM jelas isu 40% hak Sabah esok

PM sahut pendirian Gabungan Rakyat Sabah yang mahu kadar terkini dilaksanakan tahun ini.

anwar ibrahim
Pada November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan hanya fail rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan.
PETALING JAYA:
Perdana menteri akan menjelaskan perihal semakan berkaitan hak hasil 40% kepada Sabah esok.

“40% hak Sabah akan dijelaskan esok di Sabah,” kata Anwar Ibrahim kepada media selepas solat Jumaat di Kampung Batu Muda, berdekatan Batu Caves, di ibu negara.

Semalam, Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali berkata pengiktirafan Anwar terhadap hak perlembagaan Sabah menerima 40% hasil memperkukuh usaha mempercepatkan agenda pembangunan negeri.

Menurut Armizan, walaupun kes berkaitan tuntutan Sabah itu masih menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan, GRS kekal dengan pendirian semakan terbaharu terhadap kadar berkenaan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan mesti dilaksanakan tahun ini.

Mahkamah Rayuan pada April membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan hak Sabah menerima 40% daripada hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

Hakim Zaini Mazlan berkata Putrajaya akan “jelas terjejas” sekiranya dipaksa mematuhi perintah mahkamah tanpa diberi peluang mengemukakan hujahnya dalam rayuan.

Pada 17 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Mahkamah mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang memerintahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.