169,803 calon lepasan SPM ditawar ke IPTA

169,803 calon lepasan SPM ditawar ke IPTA

Kementerian Pendidikan Tinggi berkata pihaknya menerima 235,480 permohonan untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline.

pelajar tingkatan enam sekolah
Kementerian Pendidikan Tinggi turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon-calon SPM yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Sebanyak 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), menerusi UPUOnline.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 91,357 calon ditawarkan di Universiti Awam (UA), 60,947 ditawarkan ke politeknik, 15,844 Kolej Komuniti, manakala 1,655 di Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (Mara BPT).

Menurut kenyataan itu, pada tahun ini, KPT menerima 235,480 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline.

“Sebanyak 363 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan sijil sebanyak 41, asasi (57 ), diploma (264) dan satu Ijazah Sarjana Muda.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi itu dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi sehingga terendah,” menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan Laluan Khas turut ditawarkan kepada 701 Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak 701 orang , Orang Asli (310), atlet (179) dan Kategori B40 (10,499 calon), serta calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak 65 mendapat tawaran.

“Buat kali pertama, semua program pengajian turut dibuka untuk dipohon oleh calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil kepada semua,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon-calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian kepada peringkat pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.

KPT dalam pada itu memaklumkan calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, diberi peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini hingga 31 Mei 2026, 5 petang.

“Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian pada peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.