
Pihak perpustakaan berkata, ia merupakan sebuah institusi berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) yang terletak dalam kawasan sekolah.
“JUsteru, sebarang program, kursus, atau bengkel yang dijalankan di sini mestilah berasaskan pendidikan dan bersesuaian dengan persekitaran perpustakaan tanpa mengganggu ketenteraman pengguna lain.
“Sebarang progam berkaitan kenduri, aktiviti keagamaan, perkauman, atau isu-isu sensitif adalah sama sekali tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Muda Pulau Pinang mempersoalkan mengapa ceramah anti-Azam tidak dibenar diadakan di perpustakaan berkenaan walaupun sudah mendapat tempahan awal.
Pihaknya mendakwa tiada garis panduan jelas dalam sistem tempahan yang melarang ceramah awam mengenai isu-isu semasa.
Ceramah tersebut, yang memfokuskan kepada kontroversi pemilikan saham melibatkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sepatutnya menampilkan antara lain wakil daripada Muda, Bersih, dan Mandiri.
Acara itu kini akan diadakan di ruang acara George Town, COEX @Kilang Besi pada 6 petang ini.