Pelbagai program dianjur sebagai permulaan sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis

Pelbagai program dianjur sebagai permulaan sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa orang ramai menyertai pelbagai program sedang berlangsung di negeri itu sehingga 3 Mei ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda di Masjid Alwi, Kangar.
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa orang ramai ke negeri itu untuk menyertai pelbagai program sedang berlangsung sebagai permulaan kepada sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Ke-84 pada 17 Mei nanti.

Antaranya, Perkampungan Sunnah Siri ke-11 2026 bertemakan “Zikrullah: Menghidupkan Sunnah, Mendapatkan Fadhilah” di Masjid Alwi, Kangar dan Perlis Agrofest 2026 di Sungai Batu Pahat sehingga esok, yang juga acara agropelancongan terbesar di negeri itu menghimpunkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Festival Mangga Harumanis.

Perlis International Marathon 2026 yang tidak diadakan sejak Covid-19, juga kembali berlangsung hari ini di Stadium Tuanku Syed Putra.

Promosi Kraf Malaysia 2026 @ Perlis di Kangar Jaya Mall dari 10 pagi hingga 10 malam hingga 3 Mei ini pula membuka ruang orang ramai menyokong dan mengangkat martabat produk kraf tempatan.

Persembahan pentas “Menempa Tari Tradisi 2026: Di Kota Kayangan” diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perlis pada 8.30 malam ini, manakala Majlis Amal Gemilang Piskanita 2026 bertemakan “Majestic Red Carpet Gala” pula berlangsung di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis, Kampus Alam Pauh Putra, hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Alwi, Kangar. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sempena program itu, baginda berdua berkenan menyempurnakan agihan zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf dalam kalangan anak kariah Kangar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.