Disiplin, pengurusan masa kunci kecemerlangan pelajar, titah Raja Muda Perlis

Disiplin, pengurusan masa kunci kecemerlangan pelajar, titah Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar pelajar manfaatkan sepenuhnya peluang berada dalam persekitaran asrama yang kondusif.

Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) bersama pelajar SMSTSP di Behor Pulai, Kangar.
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan pelajar bahawa disiplin yang tinggi dan pengurusan masa yang bijak ialah kunci utama dalam mencapai kecemerlangan akademik serta pembentukan sahsiah diri.

Baginda bertitah, sikap bertanggungjawab dan kawalan diri yang mantap bukan sahaja meningkatkan keupayaan intelektual, malah berupaya membina karakter unggul dalam kalangan pelajar.

“Ilmu merupakan sinar yang menerangi jalan kehidupan. Justeru, tuntutlah ia dengan penuh kecekalan dan kesungguhan,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) di Behor Pulai, Kangar, baru-baru ini.

“Manfaatkan sepenuhnya peluang berada dalam persekitaran asrama yang kondusif dengan memperbanyakkan diskusi bersama rakan serta mendapatkan bimbingan daripada para guru.”

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis Johari Mohd Darus dan pengetua sekolah, Masodiah Mahfodz @ Mahfod.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri itu membabitkan 307 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga.

Dalam perkembangan lain, pihak sekolah memaklumkan SMSTSP terus melakar kejayaan pada peringkat antarabangsa, termasuk menjuarai Malaysia International Young Innovators Olympiad 2025 dan 5th International Creative Creators Playground.

Pelajar sekolah itu turut mengetengahkan inovasi antibuli di Malaysia Grand Invention Expo 2024, selain muncul naib johan peringkat kebangsaan bagi sukan kriket dan National ICT Cybersecurity Challenge 2025.

Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan merasmikan Bilik Citra Lestari yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti pelajar, ruang pameran dan bilik pelbagai guna sekolah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.