Raja Muda Perlis berkenan ketuai program kayuhan basikal

Raja Muda Perlis berkenan ketuai program kayuhan basikal

Program berlangsung di sekitar Utan Aji dekat Kangar itu sempena Sambutan Hari Polis ke-219 anjuran IPK Perlis.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai Program Kayuhan Berbasikal sempena Sambutan Hari Polis ke-219 anjuran IPK Perlis di sekitar Utan Aji dekat Kangar. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal sempena Sambutan Hari Polis ke-219 anjuran IPK Perlis yang diadakan di sekitar Utan Aji dekat Kangar.

Turut berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim, Timbalan Ketua Polis Perlis, Zaihairul Idrus serta pegawai kanan IPK Perlis.

Sempena program tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan polis.

Antara penerima bantuan termasuk Mahani Mat, 53, dan Haron Nayan, 81, dari Kampung Sentua Utan Aji, serta Ismail Matt Isa, 64, dari Kampung Alor Marus.

Selain itu, baginda juga berkenan singgah menyantuni pesara polis, Ishak Baharun, 73, di kediaman beliau di Utan Aji, yang mana jawatan terakhirnya ialah timbalan ketua polis Arau.

Dalam ucapan dalam majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah bahawa keamanan wajar dihargai dan dipelihara sebagai asas utama kesejahteraan ummah serta kestabilan negara.

Bersempena Sambutan Hari Polis ke-219, baginda juga menyeru seluruh masyarakat, khususnya di Perlis, agar menginsafi bahawa keamanan merupakan nikmat terbesar dalam kehidupan.

Baginda turut menegaskan bahawa bagi memastikan keupayaan pasukan keselamatan kekal teguh dan berterusan, setiap anggota polis perlu dilengkapi dengan latihan, kemahiran, serta peralatan yang mencukupi.

Titah Tuanku Syed Faizuddin, ini bagi memastikan setiap anggota polis sentiasa bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra mengucapkan tahniah di atas kejayaan polis merampas 510kg dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta di Wang Kelian dan Kaki Bukit, antara 24 hingga 28 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.