
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah berkenaan amat penting bagi memastikan kawasan hutan bakau itu terus dipelihara secara lebih tersusun dan dilindungi daripada sebarang ancaman pembangunan yang boleh menjejaskan ekosistemnya.
“Tapak Hutan Bakau KomaLaut telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri sebagai kawasan hutan bakau yang diselenggara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis sejak 2018,” titah baginda semasa berkenan merasmikan projek penanaman pokok bakau sempena Hari Hutan Antarabangsa 2026 di KomaLaut, Kuala Perlis.
Raja Muda Perlis turut bertitah, penanaman 1,000 pokok bakau hari ini bukan sekadar satu program simbolik, malah menjadi pelaburan jangka panjang demi kelangsungan ekosistem, kesejahteraan masyarakat serta warisan alam yang bakal dinikmati generasi akan datang.
“Usaha penanaman semula pokok bakau hari ini merupakan satu langkah yang amat tepat dan signifikan, selari dengan agenda pembangunan lestari di peringkat global, khususnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14) iaitu Kehidupan Bawah Air serta inisiatif Restorasi Landskap Hutan (FLR) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menangani cabaran perubahan iklim di samping memastikan ekosistem semula jadi terus dipelihara untuk generasi akan datang. Kejayaan usaha pemuliharaan seperti ini tidak akan tercapai tanpa penglibatan dan kerjasama erat pelbagai pihak,” titahnya.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan setiap pokok bakau yang ditanam itu diselenggara dengan baik dan dipantau secara berterusan supaya hasil serta manfaat program itu dapat dilihat dalam jangka panjang.
Baginda bertitah, penanaman semata-mata tanpa usaha pemeliharaan dan penjagaan yang konsisten akan menyebabkan matlamat asal program sukar dicapai.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat iaitu APPGM–SDG (di bawah Parlimen), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Perlis), Malaysia International Culture Exchange Club, Majlis Belia Malaysia (MBM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perlis (Perlis CCCI) serta semua pihak yang menjayakan program ini,” titah baginda.