Kerjasama erat pacu MAIPs terus cemerlang, titah Raja Muda Perlis

Kerjasama erat pacu MAIPs terus cemerlang, titah Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kerjasama itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai Gambar MAIPs 7526
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025 di Padang Besar. (Gambar MAIPs)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kerjasama erat antara jabatan dan agensi menjadi kekuatan utama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam melaksanakan amanah kepada ummah.

Baginda bertitah sikap saling menyokong, menghargai dan melengkapi perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

“Teruskanlah usaha dan komitmen dalam mengekalkan momentum kecemerlangan, dengan menghasilkan kerja yang lebih berkualiti, produktif dan progresif,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan Jabatan dan Agensi Bersama MAIPs Tahun 2025.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis tahunan anjuran MAIPs itu diadakan bagi menghargai kecemerlangan warga kerja serta agensi rakan strategik di bawah seliaannya.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Terpilih kepada penerima lelaki daripada beberapa jabatan, termasuk MAIPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis.

Anugerah kepada penerima wanita pula disempurnakan Tuanku Dr Lailatul Shahreen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.