Raja Muda titah rakyat Perlis kena berilmu, terap mentaliti kelas pertama

Raja Muda titah rakyat Perlis kena berilmu, terap mentaliti kelas pertama

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat perlu diperkasa dengan semangat berdaya saing.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dikurniakan Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, membawa gelaran Datuk Seri Diraja oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kekuatan sesebuah negeri bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal, malah turut bergantung kepada pembentukan rakyatnya yang berilmu dan mempunyai jati diri kukuh.

Titahnya, rakyat Perlis perlu diperkasa dengan semangat berdaya asing, selain bermentaliti kelas pertama dalam segenap tindakan.

“Pembangunan negeri perlu dipacu secara menyeluruh melibatkan aspek kebajikan umat, pendidikan, kesihatan, ekonomi, dan
kemudahan awam agar manfaat kemajuan dapat dirasai secara adil dan menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat,” titahnya.

Baginda bertitah demikian sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-83 pada sesi pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Negeri Perlis di Istana Arau.

Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan doa agar Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid sentiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, ketenteraman jiwa serta terus berada dalam lindungan, dan rahmat Allah.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid turut berkenan berangkat ke istiadat tersebut.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut dikurniakan gelaran Datuk Seri Diraja. (Gambar Istana Arau)

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Sempena istiadat tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan pengurniaan 24 darjah kebesaran dan pingat negeri kepada individu yang telah menabur jasa, khidmat bakti, dan sumbangan cemerlang kepada Perlis serta negara.

Pengurniaan Darjah Kebesaran Khas kepada kerabat disempurnakan terlebih dahulu di Balai Menghadap Biru Istana Arau yang mana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen, serta Tengku Puteri Mahkota Perlis, Sharifah Fazira Jamalullail dianugerahkan oleh Tuanku Raja, Darjah Seri Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (S.S.S.J.) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.