
Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata penahanan mereka dibuat kira-kira 4.30 petang selepas polis menerima maklumat awam mengenai sebuah Toyota Inova yang mencurigakan di Taman Sentosa.
Katanya, sepasukan anggota polis yang tiba di lokasi menghampiri kenderaan itu sambil memperkenalkan diri serta mempamerkan kad kuasa namun kenderaan terbabit secara tiba-tiba memecut laju untuk melarikan diri.
“Ia dapat diekori pihak polis tetapi suspek kemudiannya cuba merempuh SJR di Kampung Wai. Kenderaan itu berjaya ditahan dengan bantuan anggota bertugas.
“Ketika suspek diarahkan membuka pintu, mereka enggan beri kerjasama. Suspek secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan dan hampir melanggar anggota.
“Ia memaksa polis memecahkan cermin belakang dan penumpang hadapan untuk membuka pintu,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Beliau berkata, semua suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan ketika cuba ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
“Kita merampas pelbagai barangan antaranya empat batang besi, sepana boleh laras, alat pemotong, pemutar skru dan satu alat berbentuk ‘T’ yang diubah suai dipercayai bertindak sebagai ‘master key’.
“Polis turut merampas dua rambut palsu, empat topeng muka, sarung tangan, dua set walkie-talkie, lampu suluh, telefon bimbit, wang tunai, pasport serta kenderaan Toyota Innova yang didapati disewa di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, suspek berusia 45 hingga 52 tahun itu didapati masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu sebagai pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di negara ini.
“Semakan mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lalu dan saringan awal air kencing adalah negatif.
“Mereka direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.