
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata tiga suspek ditahan kira-kira 4.30 petang Jumaat hasil rondaan bermotosikal dan risikan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu di pangkalan haram Masjid Taqwa, Kampung Simpangan.
Menurutnya, sebuah Mercedes Benz S500L dikesan dalam keadaan mencurigakan dekat tepi Sungai Golok, dengan seorang suspek didapati mengambil satu bungkusan plastik lutsinar di tepi sungai sebelum meletakkannya dalam bonet depan kereta.
“Suspek kemudian bersama seorang lagi individu kembali ke tepi sungai untuk mengambil beberapa lagi bungkusan plastik sebelum dimasukkan dalam bonet belakang kenderaan,” katanya menurut Sinar Harian.
Jelasnya, anggota PGA kemudian menahan tiga suspek dan hasil pemeriksaan lanjut menemui lima bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan daun kering disyaki bunga ganja seberat 6kg.
“Sebanyak 1.3kg bunga ganja ditemui di bahagian depan kiri kenderaan, manakala baki 4.7kg lagi dijumpai di bonet belakang. Nilai keseluruhan dadah itu dianggarkan RM480,000.”
Beliau berkata, semua suspek mengaku dadah itu dalam kawalan mereka dan ini kali pertama mereka mengambil bekalan di pangkalan haram terbabit.
Jelasnya, seorang suspek wanita berusia 35 tahun dipercayai menjadi orang tengah yang menghubungkan pengedar dari Golok dikenali “Abe”, bersama dua lagi suspek membawa bekalan dadah ke Kuala Lumpur.
Katanya, dadah itu dipercayai akan diserahkan kepada seorang lelaki dikenali “Lee” di ibu negara dan setiap suspek dijanjikan bayaran RM300 bagi setiap kilogram bunga ganja yang berjaya dihantar.
Beliau berkata, turut dirampas Mercedes Benz S500L bernilai RM150,000 dan beberapa barangan lain yang keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM630,100.