
Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mamat, berkata pemeriksaan ke atas kenderaan suspek turut menemui 17 peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah kira-kira 16g.
Beliau berkata, laporan diterima pada 9.08 malam tadi berhubung sebuah kereta peronda polis mengejar sebuah Proton Preve di Lebuhraya Lembah Klang Baharu dekat susur keluar Plaza Tol Subang menghala ke arah Shah Alam, selepas kenderaan itu cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.
“Suspek lelaki berusia 45 tahun memandu secara berbahaya sehingga memasuki persimpangan Subang Jaya dan merempuh sebuah BMW hitam di persimpangan lampu isyarat Persiaran Tujuan, Subang Jaya, sebelum ditahan polis di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Shamsudin berkata, suspek lelaki mempunyai 21 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, manakala suspek wanita tiada rekod lampau.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan kedua-dua suspek direman tiga hari sehingga 4 Mei.”
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 39A(1) akta sama dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.