Serbuan kes dadah bongkar aktiviti palsu MyKad, 2 lelaki ditahan

Serbuan kes dadah bongkar aktiviti palsu MyKad, 2 lelaki ditahan

Polis berkata kedua-dua suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Terengganu police chief Khairi Khairudin
Ketua Polis Terengganu Khairi Khairudin berkata suspek menggunakan MyKad palsu bagi tujuan penipuan kewangan dengan 12 kes dikenal pasti membabitkan kerugian dianggarkan mencecah RM40,000. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Serbuan ke atas sebuah rumah di Besut, Terengganu berkaitan kes dadah membawa kepada pembongkaran kegiatan memalsukan MyKad dengan dua lelaki ditahan minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Khairi Khairudin, berkata pelbagai peralatan komputer yang digunakan untuk mencetak dokumen pengenalan diri palsu bagi tujuan penipuan kewangan ditemui dalam serbuan kira-kira 10.05 malam Khamis lalu.

Menurutnya, suspek 39 tahun yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan pernah bekerja dengan sebuah syarikat IT, menjalankan kegiatan itu dengan seorang rakan berusia 35 tahun.

Jelasnya, suspek menggunakan nama dan nombor kad pengenalan individu sebenar, tetapi gambar pada MyKad tidak sepadan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara.

“Polis telah memanggil individu yang maklumat peribadi disalahgunakan dan semuanya mengesahkan MyKad dirampas itu bukan milik mereka serta tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan maklumat tersebut,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di Kuala Terengganu.

Beliau berkata, 12 kes dikenal pasti setakat ini membabitkan permohonan menggunakan MyKad palsu membabitkan kerugian dianggarkan mencecah RM40,000.

Antara barang dirampas termasuk dua komputer riba, dua pencetak, mesin laminat, 12 keping MyKad palsu, pelbagai telefon bimbit, wang tunai RM550 dan syabu seberat 7.11g dianggarkan bernilai hampir RM640.

Khairi berkata, dua suspek berasal dari Besut itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pendaftaran Negara 1959, Seksyen 420 dan 468 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan serta pemalsuan dokumen.

Katanya, reman kedua-dua suspek selama tujuh hari berakhir esok dan kertas siasatan akan dirujuk pendakwa raya untuk pendakwaan di Mahkamah Majistret Besut esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.