
Kejadian kira-kira 5 petang itu menyebabkan mangsa berusia 13 tahun mengalami kecederaan pada bahagian pipi kanan.
Ketua Polis Pekan, Mohd Zaidi Mat Zin, berkata kejadian berlaku selepas mangsa pergi ke sebuah pondok di kawasan itu untuk bertemu dengan salah seorang pelajar, dipercayai ada kaitan dengan masalah hutang.
Bagaimanapun katanya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum pelajar berusia 14 tahun itu bertindak menolak, menumbuk dan menendang mangsa.
“Beberapa lagi rakan remaja terbabit yang berada di tempat kejadian turut terlibat memukul mangsa.
“Kejadian disaksikan beberapa individu dan dirakam,” katanya, menurut Sinar Harian.
Zaidi berkata mangsa kemudiannya menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.
“Bertindak atas maklumat, enam pelajar ditahan di IPD Pekan kira-kira 1.30 pagi tadi untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147/507D Kanun Keseksaan,” katanya.