
Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap wanita 32 tahun itu.
“Oleh itu, kamu dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan,” katanya menurut Sinar Harian.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 15 tahun dalam kereta di tepi Jalan Datuk Abdul Malik, Kuala Lumpur pada 8 malam 23 Jun 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, serta dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam kereta di perhentian bas Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur pada 9 malam hari sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, manakala peguam Fadhli Sutris dan Ishak Mohd Yusof mewakili tertuduh.