Mahasiswa bebas kritik, beri pandangan guna pelbagai saluran, kata PM

Mahasiswa bebas kritik, beri pandangan guna pelbagai saluran, kata PM

Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menjawab isu dibangkitkan apabila telah ada keputusan.

anwar ibrahim kakitangan
Anwar Ibrahim berkata organisasi atau wakil pelajar boleh mengatur pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan mahasiswa bebas mengkritik kerajaan termasuk melalui platform digital, sambil memberi jaminan saluran rasmi tersedia untuk membawa isu mereka terus kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata perubahan landskap aktivisme daripada bentuk tradisional kepada ruang maya seperti media sosial, forum dan TikTok adalah selari dengan perkembangan semasa, namun tidak menjejaskan hak pelajar untuk bersuara.

“Ini tidak menghalang mana-mana pihak untuk berhimpun atau berkumpulan. Maksudnya, bukan sahaja dalam bentuk tradisional, tetapi juga secara dalam talian.

“Namun, tiada halangan dikenakan. Kalau ingin mengkritik, boleh dan isu-isu yang dibangkitkan, apabila ada keputusan, kita akan jawab,” katanya.

Beliau menjawab soalan pelajar UCSI University Andi Asyraf Paturusi Adam pada program temu Anwar diadakan sempena perasmian bangunan baharu institut pengajian tinggi swasta itu.

Anwar berkata pelajar juga boleh menggunakan pelbagai saluran sedia ada termasuk penulisan, surat rasmi atau pertemuan terus dengan pihak berkaitan bagi memastikan idea mereka didengar dan dipertimbangkan.

“Saluran maklumat itu ada. Kalau ada mahasiswa yang ingin menyuarakan pandangan, boleh. Mereka juga boleh menulis atau menghantar surat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata wakil pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) boleh mengatur pertemuan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam tempoh dua minggu.

“Jika ingin berjumpa, organisasi atau wakil pelajar boleh mengatur pertemuan dengan KPT dalam tempoh dua minggu. Soalan-soalan yang sukar boleh dikemukakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.