Geran RM5 juta dibuka untuk perkasa muzium, warisan negara

Geran RM5 juta dibuka untuk perkasa muzium, warisan negara

Kementerian Perpaduan Negara berkata Geran Padanan Muzium 2026 memberi keutamaan kepada projek berpaksi rakyat termasuk pendigitalan dan naik taraf galeri.

Muzium Negara
Geran Padanan Muzium (GPM) diperkenal untuk galakkan korporat dan pemegang taruh bantu usaha meremajakan Muzium Negara serta institusi permuziuman lain.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara membuka permohonan Geran Padanan Muzium (GPM) 2026 bermula 1 Mei hingga 30 Julai ini bagi memperkasa institusi muzium dan warisan negara.

Di bawah inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan menyediakan RM5 juta menerusi geran berkenaan bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat, dermawan, pakar warisan, agensi, institusi dan organisasi berkaitan dalam usaha meremajakan Muzium Negara serta institusi permuziuman lain.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata pelaksanaan GPM 2026 membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh peranan muzium sebagai institusi pendidikan, pemeliharaan warisan dan platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum.

“GPM 2026 turut bertujuan meningkatkan keterlihatan muzium melalui pemerkasaan, pemodenan dan pengisian program yang lebih relevan dengan perkembangan semasa,” katanya dalam kenyataan.

Keutamaan akan diberikan kepada projek atau program yang berpaksi rakyat dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Skop geran itu meliputi pembangunan infrastruktur kekal, pendigitalan, penyediaan ruang pendidikan serta program permuziuman.

Aaron berkata pendekatan itu diharap dapat memberi pengalaman baharu kepada pelawat tempatan dan antarabangsa, selain memperkukuh usaha pemeliharaan serta pemuliharaan koleksi warisan negara.

“Usaha memperkasa institusi muzium perlu dilaksanakan secara kolaboratif bagi memastikan sejarah dan identiti negara terus dipelihara serta dihayati generasi akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.