
Khoo mendakwa dunia alam maya itu menjadi platform mewujudkan prejudis, rasa curiga dan sentimen perkauman di kalangan rakyat terutama generasi muda yang tanpa sedar terperangkap seolah-olah menjadi mangsa peristiwa hitam itu.
“Masalah kita sejak 1969 ialah cuba mencari naratif tunggal tentang puncanya, sedangkan kita perlu memahami pelbagai naratif yang wujud.
“Dari situ timbul prejudis, rasa curiga dan sentimen perkauman yang semakin menebal, lebih-lebih lagi dengan kewujudan ‘syaitan media sosial,” katanya kepada FMT.

Hujah Khoo itu disokong melalui tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang menurunkan 398 kandungan berkaitan isu agama, raja, dan kaum (3R) setakat April lalu. Secara keseluruhan sebanyak 8,540 kandungan berbaur 3R diturunkan sejak 2022.
Tangani dengan matang
Rusuhan yang tercetus di Kuala Lumpur pada 1969 itu merekodkan korban rasmi 143 kaum Cina, Melayu (25), India (13) dan bangsa lain (15) manakala lebih 400 individu cedera.
Khoo berkata, peristiwa berdarah itu tidak boleh dipadam daripada sejarah negara sebaliknya masyarakat perlu menanganinya secara matang dengan membina kefahaman dan perpaduan lebih kukuh, melangkaui kebisingan toksik media sosial.
“Pendidikan perlu berakar kepada sejarah, tetapi kita terlalu menumpukan kepada sains dan teknologi sehingga nilai kemanusiaan semakin hilang.
“Sejarah kini menjadi bahan andaian dan itulah duka besar negara kita,” katanya.
Katanya, selagi ia disembunyikan atau dijadikan senjata politik, negara sukar melangkah ke hadapan.
Saksi tragedi itu yang juga Setiausaha Agung Komuniti Kampung Baru, Shamsuri Suradi, berkata rakyat sebenarnya tidak mempunyai masalah antara satu sama lain.

Katanya, rusuhan itu tercetus akibat hasutan segelintir pemimpin demi kepentingan peribadi sehingga hubungan antara kaum mengambil masa lama untuk dipulihkan.
“Generasi selepas 1980-an mungkin tidak lagi merasai kebencian itu kerana mereka melihat dunia ini milik semua orang. Namun, mereka yang lahir sebelum era itu benar-benar merasai impaknya.
“Saya harap jangan ada pihak cuba menghasut, terutama pemimpin politik. Peristiwa ini boleh dielakkan jika kita saling menghormati dan tidak melakukan provokasi,” katanya.
Shamsuri berkata, pemimpin perlu mempunyai visi jelas untuk membawa Malaysia keluar daripada perangkap prasangka dan curiga antara kaum.
Bukan gambaran sebenar
Sementara itu, pelatih peguam Mohd Syahid Mohd Syukri melihat suasana di dunia nyata jauh berbeza.
Katanya, perbalahan di media sosial tidak menggambarkan hubungan sebenar rakyat pelbagai kaum.
“Perpaduan itu wujud. Di tempat kerja saya, Melayu, Cina dan India bekerja serta hidup harmoni bersama,” katanya.
Pandangan sama dikongsi pekerja swasta Nelson Wong yang menyifatkan perpaduan dalam negara masih kukuh dan boleh ditambah baik.
“Jangan terlalu bergantung kepada media sosial. Kita kena turun padang dan bantu semua orang tanpa mengira kaum,” katanya.