“Tiada yang serang saya bila desak Pak Lah letak jawatan” – Muhyiddin

“Tiada yang serang saya bila desak Pak Lah letak jawatan” – Muhyiddin

Ketika itu tidak timbul isu 'pecat Muhyiddin' dan "kerajaan BN akan tumbang jika Pak Lah berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

muhyiddin_Pak-Lah_600_1

KOTA TINGGI:
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Datuk Seri Najib Razak bukanlah Presiden UMNO pertama yang didesak beliau untuk meletakkan jawatan.

Malah beliau berkata, sebaik sahaja selepas PRU ke-12, beliau berjumpa Najib untuk menggesa Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur pada tahun 2008, apabila mendapati UMNO kian lemah selepas pencapaian teruk dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-12.

“Lepas pilihanraya (2008) saya jumpa Najib di pejabatnya, ketika itu dia Timbalan Perdana Menteri. Saya tanya pendapatnya (tentang UMNO) selepas PRU, dia kata tidak baik.

“Saya beritahu dia, ‘inilah sebabnya saya jumpa anda, untuk sarankan agar anda ambil alih kepimpinan negara daripada Pak Lah’. Ini ada dalam rekod sejarah.

“(Ketika itu) Tidak timbul pula soal ‘pecat Muhyiddin. Tiada pula yang kata kalau Pak Lah berundur (dan PM ditukar), kerajaan BN akan tumbang,” katanya lagi kepada 1000 hadirin di sebuah program di Dewan Sri Teratai Kampung Batu Ampat‎, di sini semalam.

Tahun lalu, beliau digugurkan daripada Kabinet kerana membuat kritikan secara terbuka terhadap Najib berhubung isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Beliau juga digantung daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 26 Februari lalu kerana didakwa ‘gagal memainkan peranan membantu Presiden’.

Sejak itu, Muhyiddin diserang secara terbuka oleh pemimpin dan ahli UMNO malah ada yang mendesak beliau dibuang daripada parti itu.

Katanya lagi, ketika itu Pak Lah tidak terpalit dengan apa-apa skandal besar tetapi tetap dilihat akan terus menjejaskan UMNO.

“Pak Lah jauh dari skandal, cuma kepimpinan dilihat tidak kukuh. Kalau dibiarkan dan keadaan tidak diselamatkan, kita boleh kalah.

“Apa yang kita mahukan adalah Perdana Menteri (sekarang) letak jawatan,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.