Deklarasi Rakyat tidak mampu tumbangkan Najib – Sanusi Junid

Deklarasi Rakyat tidak mampu tumbangkan Najib – Sanusi Junid

Beliau menyeru rakyat berdoa kepada tuhan supaya membuka pintu hati Najib Razak untuk berundur daripada terus melakukan kerosakan kepada negara.

sanusi,najib,mahathir

KUALA LUMPUR :
Veteran UMNO yang ‘sekapal’ dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Sanusi Junid berpendapat menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO adalah satu ibadah.

Beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah bagaimanapun mengakui Deklarasi Rakyat yang ditandatangani bersama pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil tidak mampu menumbangkan Najib.

Katanya, apa yang boleh dilakukan rakyat Malaysia ketika ini ialah mendoakan supaya Tuhan membuka pintu Najib untuk berundur daripada terus melakukan kerosakan kepada negara.

Sehubungan itu, beliau meyeru rakyat supaya sentiasa berdoa agar Najib terbuka hati untuk berundur kerana seluruh negara sudah tahu beliau tidak lagi layak memimpin negara kerana kesilapan-kesilapan yang dilakukannya.

“Najib tentu tahu kesilapan-kesilapan beliau..kalau tak beliau tak buang (orang) yang menegurnya, media (kekangan) dan segala macam beliau buat.

“Maknanya Najib tahu apa masalah beliau. Tapi dapatkan beliau menyelesaikan masalah ini?,” katanya menerusi wawancara FMT.

Apabila ditanya siapakah pemimpin yang layak untuk menggantikan Najib jika beliau berundur, Sanusi berkata;

“Kalau nak cari pengganti yang ada, saya ingat ramai yang layak. Maknanya semakin rendah prestasi Perdana Menteri, semakin besar pintu untuk mereka yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.

“(Umpamanya) bila yang tiada kelulusan jadi wakil rakyat, semua yang tiada kelulusan akan berfikir ‘ aku pun boleh jadi wakil rakyat’.

“Kemudian yang jadi wakil rakyat itu menyalahgunakan kuasa, orang yang tak menyalahgunakan kuasa merasakan dia (pun) boleh jadi wakil rakyat,” katanya.

Sanusi dalam masa yang sama turut berselorah apabila ditanya semula siapa antara Timbalan Presiden UMNO yang kini digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang layak menggantikan Najib.

“Allah yang tentukan (siapa yang layak menggantikan Najib). Kita mungkin tidak tahu. Mungkin ketiga-tiga mereka duduk bersama dan memutuskan Tengku Adnan atau (Tan Sri) Annuar Musa untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dan jika mereka memutuskan Ahmad Maslan layak jadi Perdana Menteri, mungkin ia baik kepada negara,” selorohnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.