Saya tak pernah terima anugerah Ikon Belia – Anak Zahid

Saya tak pernah terima anugerah Ikon Belia – Anak Zahid

Nurulhidayah mendedahkan gelaran itu diberikan oleh sebuah stesen tv secara tidak sengaja dan beliau telahpun meminta stesen itu menjelaskan kepada umum.

 

anugerah-ikon-belia

PETALING JAYA:
Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mengaku beliau tidak pernah menerima anugerah ikon belia seperti dicanang masyarakat umum.

Menurutnya, isu tersebut timbul disebabkan kesilapan sebuah stesen televisyen tempatan yang tanpa sengaja telah ‘menganugerahkan’ gelaran tersebut kepadanya.

“Sebenarnya gelaran ikon belia ini adalah kesilapan daripada pihak stesen TV. Tahun lepas saya dipanggil dalam sebuah rancangan bual bicara, pihak penerbit tanya kepada saya nak ‘gelar’ saya sebagai apa, saya cakap saya aktif dalam persatuan belia, banyak terlibat dalam program belia, oklah dia tanya saya nak letak apa, saya kata aktivis belia sesuailah.

“Dan semasa ‘on air’ saya nampak tertera di bawah nama saya ikon belia, saya cakap habislah… tapi bagi saya mungkin pihak penerbit merasakan saya wakil kepada belia sebab itu dia letakkan gelaran saya sebagai ikon belia, tapi bagi orang lain dekat luar sana mungkin gambaran mereka tentang ikon belia adalah lain,” katanya yang dipetik Sinar Harian Online.

Setelah kejadian tersebut berlaku, Nurulhidayah menjelaskan beliau telah menulis surat kepada stesen tv tersebut agar menjelaskan kesilapan berkenaan kepada masyarakat umum.

“Saya sudah menulis surat kepada stesen berkenaan agar pihaknya mengeluarkan kenyataan diatas kesilapan itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menerima kejadian yang berlaku itu dengan hati yang terbuka dan positif.

“Adalah terkesan tetapi ia tidak sampai menjejaskan kehidupan saya, saya fikir positif mungkin orang nak kenal saya dengan cara begitu, jadi tidak mengapalah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.