SUKE dan DASH: Azmin khianati rakyat Selangor – GERAKAN

SUKE dan DASH: Azmin khianati rakyat Selangor – GERAKAN

GERAKAN negeri menggesa pemimpin Kerajaan Selangor mendapatkan pandangan rakyat sebelum meluluskan projek berkenaan.

azmin

PETALING JAYA:
GERAKAN Selangor membidas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin yang bersikap lepas tangan terhadap rungutan rakyat negeri ini mengenai projek pembinaan lebuh raya di Selangor.

Pengerusinya, Datuk David Ang Chin Tat, berkata Kerajaan Selangor mengabaikan pandangan rakyat yang membantah Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).

Katanya, hutan simpan di Bukit Cherakah dan Sungai Buloh yang digazetkan kini berkemungkinan besar akan digadaikan untuk pembinaan lebuh raya.

“Rakyat Selangor tidak pernah lupa dengan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya bahawa tidak ada lebuh raya baru yang akan dibuat.

Kini sudah terbukti kenyataan mereka bercanggah sehingga boleh disifatkan mereka menjadi kerajaan yang bersikap autokratik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Chin Tat berkata, EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong juga terus berdiam diri mengenai isu berkenaan.

Katanya, Elizabeth bersikap tidak bertanggungjawab dengan tidak mengendahkan permintaan jawatankuasa Say No To DASH (SNTD) untuk berbincang mengenai pembinaan DASH.

“Kini sudah terbukti dengan fakta bahawa Azmin dan Elizabeth tidak boleh lari dari pembohongan mereka.

“Saya menggesa kedua-dua mereka supaya menampilkan diri dan mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum meluluskan projek ini selain menjelaskan pembohongan kononnya projek lebuh raya tidak diluluskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.