Katanya, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menjawab semua persoalan berkaitan dana RM2.6 bilion di Parlimen.
“Saya tiada niat langsung untuk mengambil alih tugas Speaker Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan media bagi menjawab teguran Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Sebelum itu, Pandikar Amin mengetepikan arahan Azalina kerana berpendapat Azalina bertindak melangkaui tugasnya dan melakukan kesilapan apabila membuat keputusan awal tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
Beliau membuat keputusan itu selepas menerima bantahan daripada ahli Parlimen pembangkang yang tidak puas hati dengan arahan Azalina itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina menafikan dakwaan ahli Parlimen pembangkang bahawa kerajaan tidak mahu menjawab isu wang derma itu.
Sebaliknya, Azalina menyatakan kerajaan telah memberi jawapan bertulis di Parlimen sebanyak enam kali.
“Jika ahli-ahli pembangkang menuduh kerajaan tidak mahu menjawab adalah tidak benar.
“Kerajaan telah menjawab kepada isu ini di Parlimen melalui pernyataan Menteri pada 3 Disember 2015 dan terus memberikan jawapan secara bertulis sebanyak enam kali kepada pertanyaan-pertanyaan Dewan Rakyat pada 8, 9, 10 dan 15 Mac 2016 iaitu sehari sebelum Majlis Peguam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur (14 Mac 2016),” katanya lagi.
Tambah Azalina, keadaan ini dikuatkan lagi apabila Tun Dr Mahathir turut memfailkan writ saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
