Laporan itu dibuat oleh NGO, Say No To SUKE (SNTS) dan Say No To DASH (SNTD) pada 27 dan 29 Mac lalu berikutan perbincangan antara penduduk terkesan dan pentadbiran Azmin berhubung pembinaan lebuh raya bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) temui jalan buntu.
“Kalau mereka tidak mahu berbincang dengan kami mereka boleh berbincang dengan pihak polis,” kata Pengerusi Say No To DASH, Agos Hasan Ashari kepada pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di Shah Alam, hari ini.
Menurut Agos, antara isu berbangkit adalah kerajaan pimpinan Azmin didakwa melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa, yang menetapkan sebarang projek perlu dimasukkan dalam rancangan tempatan terlebih dahulu. Jika tidak, ia harus ditolak.
“Pemeriksaan di pihak berkuasa tempatan mendapati kedua-dua projek tidak dimasukkan dalam rancangan tempatan. Projek SUKE perlu dimasukkan dalam rancangan tempatan Ampang Jaya manakala DASH perlu dimasukkan dalam rancangan tempatan Petaling Jaya 2,” kata Agos.
Malah, urusan pengambilan tanah untuk projek berkenaan juga didakwa dibuat secara salah disisi undang-undang.
“Mengikut akta, sebelum pengambilan tanah kena ada kewartaan tetapi pengambilan tanah telah berlaku pada 23 Julai 2015. Warta untuk rancangan tempatan hanya dikeluarkan pada 14 Januari 2016,” jelas Agos.
Agos berkata laporan polis dibuat kerana mereka telah berputus dengan alasan berterusan daripada PKR, DAP dan PAS – tri parti yang membentuk kerajaan di Selangor.
Beliau menegaskan SNTS dan SNTD tidak menolak pembinaan lebuhraya, sekadar mahu penjajaran tertentu lebuhraya itu diatur semula kerana terlalu hampir dengan kawasan perumahan.
Meskipun Azmin sebelum ini meletakkan tiga syarat wajib yang perlu dipenuhi konsesi lebuhraya sebelum membina lebuhraya di negeri itu, Agos berkata pentadbiran Azmin gagal memastikan syarat dipenuhi iaitu menyediakan penilaian kesan trafik, kesan sosial dan kesan alam sekitar; memamparkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi secara menyeluruh dan pendedahan perjanjian konsesi secara penuh.
Sebelum ini, kumpulan penentang pembinaan Lebuh raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) mendakwa, Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali bersekongkol dengan kerajaan BN untuk melaksanakan projek berkenaan, malah, turut menuduh wujudnya unsur rasuah.
“Kami berharap polis boleh memberi perhatian kepada laporan kami dan menyiasat semua pihak yang berkenaan terutamanya seluruh EXCO kerajaan negeri Selangor bermula dengan MB,” tegasnya.
